Tuesday, April 13, 2010

Kerajaan sedia timbang lesen kelas H warga asing


KUALA LUMPUR 12 April - Kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan warganegara asing untuk memiliki lesen memandu kelas H negara ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, walaupun kerajaan menetapkan dasar untuk tidak mengeluarkan lesen vokasional kepada warganegara asing sejak 2008, perkara itu boleh dikaji demi keperluan ekonomi negara.
Bagaimanapun katanya, pertimbangan itu akan hanya dibuat terhadap warganegara asing yang mengikuti syarat ditetapkan seperti mempunyai dokumen perjalanan lengkap.
"Mereka juga perlu mengikuti kursus dan lulus ujian pemanduan seperti ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohsin ingin mengetahui jumlah lesen memandu kelas H yang dikeluarkan kepada pendatang asing serta jumlah pendatang asing terlibat dengan pengendalian kenderaan berat.
Abdul Rahim memberitahu, sehingga kini, sebanyak 117,751 lesen memandu kelas H telah dikeluarkan di seluruh negara dengan 117,214 daripada pemegangnya merupakan warganegara Malaysia.
''Manakala selebihnya iaitu 537 orang atau satu peratus merupakan warganegara asing," katanya.

No comments:

Post a Comment