Tuesday, April 13, 2010

Kumpulan serpihan IRA letupkan bom depan pejabat M15



DUBLIN 12 April - Kumpulan serpihan Tentera Republikan Ireland (IRA) meletupkan sebutir bom di luar ibu pejabat agensi pengintipan domestik Britain, M15 di Ireland Utara, hari ini.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 12.24 pagi (8.24 pagi ini waktu Malaysia).
Kejadian di pinggir bandar Belfast itu berlaku hanya beberapa jam sebelum para pemimpin politik Roman Katolik dan Protestan dijadual memilih seorang Menteri Kehakiman baru sebagai satu lagi langkah dalam proses damai.
Perkhidmatan Polis di Ireland Utara berkata, kumpulan serpihan IRA yang bersenjata menahan seorang pemandu teksi di rumahnya di Belfast dan kemudian menggunakan teksinya untuk membawa bom ke tembok keselamatan Palace Barracks, iaitu bekas pangkalan tentera darat Britain yang kini menempatkan pejabat cawangan M15 di Ireland Utara.
Ahli politik tempatan berkata, kira-kira 50 penduduk tempatan dipindahkan ke sebuah balai raya selepas pihak berkuasa menerima amaran menerusi telefon mengenai bom itu.
Seorang ahli politik Protestan, Basil McCrea berkata, seorang lelaki dimasukkan ke hospital kerana dipercayai trauma selepas dia terpelanting akibat gelombang letupan itu.
Ahli politik percaya serangan itu bertujuan untuk menjejaskan penyerahan kuasa daripada kerajaan Britain kepada sebuah Jabatan Kehakiman baru dalam kerajaan perikatan Ireland Utara yang terdiri daripada anggota beragama Protestan dan Roman Katolik.
Kuasa kerajaan Britain untuk mengendalikan sistem kehakiman tersebut diserahkan secara rasmi pada tengah malam tadi, hanya 24 minit sebelum letupan berlaku.
Britain bagaimanapun mengekalkan kuasa-kuasa penting dalam penguatkuasaan undang-undang, terutamanya dengan memberi peranan utama kepada ejen-ejen M15 untuk memungut maklumat perisikan bagi memerangi keganasan di Ireland Utara.
Lewat hari ini, ahli Parlimen Ireland Utara dijadual melantik pemimpin Parti Perikatan, David Ford sebagai Menteri Kehakiman baru dalam kerajaan perikatan yang berusia tiga tahun itu.
Kerjasama antara kedua-dua komuniti itu menjadi tunjang perjanjian damai Good Friday yang dicapai menerusi perantaraan Amerika Syarikat (AS) pada 1998. - AP

No comments:

Post a Comment