Tuesday, April 13, 2010

Periksa secara terperinci pelancong wanita ke luar negara seorang diri


KUALA LUMPUR 12 April - Pihak berkuasa perlu melakukan pemeriksaan paling ketat terhadap wanita yang melancong ke luar negara seorang diri bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sindiket pengedaran dadah serta jenayah di peringkat antarabangsa.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) (gambar) berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat kebebasan golongan wanita negara ini, sebaliknya untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa penganiayaan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, sebelum dibenarkan ke luar negara mereka harus disoal siasat terutama dari segi tujuan pemergian ke negara berkenaan selain seluruh bagasi dan barang-barang diperiksa sepenuhnya.
''Jika pelancong wanita ini sukar untuk memberi alasan pemergiannya ke negara berkenaan, hentikan sahaja perjalanannya. Lebih baik kita halang pemergiannya daripada dia mendapat susah di negara orang.
''Ini yang berlaku. Saya simpati dengan nasib yang dihadapi oleh segelintir wanita kita yang ditangkap di negara orang atas kesalahan menyeludup dadah. Kesemua mereka kini telah dipenjarakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Bung Moktar berkata, kerajaan harus mengambil berat mengenai isu itu dengan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi kes penyeludupan dadah membabitkan rakyat wanita negara ini.
Selain itu, beliau berkata, langkah tersebut juga boleh mengelakkan Malaysia dijadikan sebagai negara transit oleh pihak sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
''Saya membawa satu contoh yang mana ada seorang wanita hendak pergi ke Argentina secara berseorangan dan dia tidak pernah ke negara tersebut sebelum ini. Orang seperti ini sepatutnya disiasat sepenuhnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan permintaan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) untuk mendapatkan penjelasan Kementerian Luar mengenai tindakan kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara bagi mengatasi masalah penangkapan wanita kerana kesalahan mengedar dadah.
Bung Moktar juga bersetuju dengan pandangan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) supaya melantik bekas menteri dan bekas ahli politik sebagai duta.
''Secara peribadi saya tidak kisah jika ahli politik pembangkang dilantik sebagai duta asalkan mereka ikhlas berkhidmat untuk negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment