Saturday, May 8, 2010

Felcra sedia RM48 juta untuk PBR



IPOH – Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bhd memperuntukkan RM48 juta untuk 1,800 rumah sama ada membina yang baru mahupun membaik pulih sepanjang tahun ini. 

Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, antara negeri yang terbabit dalam program bantuan rumah (PBR) itu termasuklah Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak. 

Menurutnya, program PBR itu dilaksanakan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan meletakkan objektif utama untuk menaik taraf hidup keluarga miskin tegar di negara ini. 

Katanya, pemilihan penerima PBR berdasarkan tinjauan yang dibuat Kerajaan Negeri dengan bantuan Felcra sama ada kawasan itu layak untuk dibangunkan bagi membantu mereka yang memerlukan. 

“Selain itu, mereka yang berdaftar di dalam senarai e-Kasih turut diberi keutamaan mengikut daerah di negeri masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan PBR 2010 Perak, semalam. 

Tajuddin berkata, pihaknya sudah memulakan projek terbabit dan melantik kontraktor yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pembinaan rumah di keempat-empat negeri berkenaan.

No comments:

Post a Comment