Guan Eng nafi sebut UMNO Samseng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan ada menyebut UMNO sebagai samseng atau rasuah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan kenyataan itu, beliau berkata Azhar cuba memutarbelitkan kenyataan dengan menyalahkannya apabila semua hujahnya dapat ditangkis oleh wakil Kerajaan Negeri.
“Saya juga tidak pernah menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak atau pemimpin Kerajaan Pusat lain dalam DUN. Itu adalah urusan Pusat dan kita tidak pernah menimbulkannya kerana lebih tertumpu kepada isu berkaitan Pulau Pinang.
“Mungkin Azhar tidak dapat membalas hujah saya apabila menimbulkan soal tender untuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media di pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sini semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan tender yang berada dalam bidang kuasanya dan memberi kepada kontraktor yang layak.
“Kita akan tentukan siapa yang layak jika tender itu kita yang punya. Kalau peruntukan Kerajaan Pusat, sudah pasti mereka yang akan mengeluarkan tender,” katanya.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan sikap Azhar yang cuba mencetuskan suasana ketakutan dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan, Guan Eng berkata Ketua Pembangkang tidak wajar menimbulkan isu tentera dan kejadian 13 Mei dalam DUN.
“Saya juga meminta agar Najib dapat mengarahkan Azhar menarik balik kenyataannya itu dan meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kata-katanya itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment