Nik Aziz tumbangkan lawan dari Thailand GONG KEMUNTONG - Kumpulan Kuda Merah yang dianggotai anggota polis mewakili Kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur menguasai hampir keseluruhan kejohanan tomoi sempena Peringatan Hari Polis ke-203 di Padang Astaka dekat Jertih, di sini. Menerusi pertandingan pada malam terakhir (ketiga) kejohanan, penonton yang masih bersemangat menyaksikan perlawanan tergamam apabila Nik Aziz Shaffi mewakili Kelab Polis menumbangkan lawannya, Wan Sai dari Patani, Thailand hanya beberapa minit selepas perlawanan bermula pada pusingan pertama. Nik Aziz melakukan tendangan mengenai sisi kepala Wan Sai menyebabkan lawannya itu tumbang dan mengalami kecederaan ringan yang secara langsung memberi kemenangan kepada Nik Aziz. Itu adalah sebahagian senario kejohanan tomoi anjuran Kelab Polis Besut dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Terengganu yang diadakan selama tiga malam berturut-turut. Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, lebih 2,000 penonton hadir menyaksikan perlawanan pada malam pertama dan kedua manakala pada malam terakhir, meningkat lebih 3,000 penonton. Menurutnya, sambutan masyarakat amat baik malah mereka sangat berdisiplin sepanjang menyaksikan kejohanan di atas pentas khas disediakan. “Hasrat kelab menganjurkan kejohanan ini bukan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata sebaliknya merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat. “Terbukti masyarakat memberi sokongan padu terhadap program yang diadakan polis dan secara tidak langsung kami dapat menjalankan kempen pencegahan jenayah,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof dalam ucapan penutup pada malam terakhir kejohanan berkata, selain sukan dan untuk kesihatan tubuh badan, penganjuran kejohanan itu membuktikan polis Besut sentiasa dekat dengan masyarakat. Hadir sama, Ketua Polis Negeri, SAC II Hamzah Md Jamil. Muhammad Pehimi berkata, kejayaan kejohanan itu juga membuktikan polis Besut bersungguh-sungguh menurunkan kadar jenayah di daerah ini dan secara tidak langsung menghiburkan orang ramai. “Tidak mustahil polis Besut mampu muncul sebagai daerah paling banyak menurunkan kadar jenayah indeks dalam tempoh empat bulan pertama pada tahun ini,” katanya. Pada kejohanan itu, sebanyak lima regu diturunkan setiap malam membabitkan peserta tempatan, Kelantan, Thailand dan Kelab PDRM. |
Saturday, May 8, 2010
Ingatkan Tok guru
Labels:
tomoi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment