Saturday, May 8, 2010

UNDILAH barisan nasional kerana tolong bina jambatan


Hidup daif bawah jambatan
Oleh Mohd Azrone Sarabatin 
azrone@bharian.com.my
2010/05/08

MELEHENG sibuk menjemur pakaian di atas besi penghadang jambatan yang menjadi kediamannya dan keluarga  sejak 10 tahun lalu di Tanjung Lipat Likas, Kota Kinabalu.
MELEHENG sibuk menjemur pakaian di atas besi penghadang jambatan yang menjadi kediamannya dan keluarga sejak 10 tahun lalu di Tanjung Lipat Likas, Kota Kinabalu.
Sekeluarga 10 beranak dakwa etnik nomad, tiada dokumen 

KOTA KINABALU: “Lapan anak saya lahir dan dibesarkan di bawah jambatan. Kami bahagia dan tidak pernah menyesal berumah di bawah jambatan sejak 10 tahun lalu,” kata Meleheng Manabba, 38, ketika ditemui di bawah jambatan yang menghubungkan Likas dengan bandar raya ini berhampiran Tanjung Lipat, semalam.
Mendakwa berbangsa Pala'u, iaitu etnik yang menetap secara nomad dalam perahu, beliau mempunyai lima anak lelaki dan tiga perempuan. Anak sulungnya lahir pada 2001 manakala yang bongsu berusia empat bulan.
Pada peringkat awal menetap di bawah jambatan itu, beliau mengakui tidak tahan dengan deruan kenderaan melintasi jambatan tetapi lama-kelamaan dapat menyesuaikan diri. 

Penulis terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Bajau Semporna kerana Meleheng tidak pandai berbahasa Melayu dan mendakwa pernah menetap di perairan Laut Sulawesi, Semporna menyebabkan mereka pandai berbahasa Bajau Semporna. 

Tinjauan Berita Harian di bawah jambatan itu semalam mendapati ada kotak kayu dijadikan tempat tidur, periuk dan televisyen yang tidak pasti sama ada masih berfungsi. 

Lima kanak-kanak berambut perang dan kerinting dipercayai anaknya, turut berada berhampiran. 
Bagaimanapun, suami Meleheng, Panjau Menteru, 40, bersama tiga anak mereka tiada di ‘rumah' kerana keluar mencari kerang dan tiram untuk dijual di bandar raya ini bagi menampung perbelanjaan keluarga. 

Diminta menceritakan punca terdampar di bawah jambatan itu, Meleheng mendakwa perahu mereka karam di perairan Kota Kinabalu pada 1999 selepas dua tahun belayar dari Laut Sulawesi di Semporna ke Laut Sulu di Sandakan menuju Pulau Banggi, Kudat. 

“Kami teruskan pelayaran ke perairan Pulau Mantanani di Kota Belud, Tuaran dan tiba di perairan Kota Kinabalu. Bot kami karam kerana bocor. 

“Saya dan suami berenang ke tepian pantai manakala lima adik yang turut menaiki perahu itu gagal dikesan sehingga sekarang,” katanya. 

“Beberapa kali saya hampir lemas dan selepas beberapa jam berenang, kami terdampar di tepi jambatan ini. Kami tidak mampu membuat perahu baru, jadil kami memilih untuk menetap di bawah jambatan sehingga beranak-pinak,” katanya. 

Meleheng berkata, awalnya mereka mencari nafkah dengan mengumpul tin kosong dan kertas untuk dijual, selain mengakui pernah mengemis. 

Menyedari kegiatan itu menyebabkan mereka menjadi buruan pihak berkuasa, pasangan itu beralih kepada menangkap ikan menggunakan kayu yang ditajamkan dan pancing. 

“Hasil tangkapan yang tidak seberapa itu kami keringkan dan dijual kepada peniaga ikan kering di sekitar bandar raya ini," katanya sambil mengakui anaknya tidak bersekolah kerana tiada dokumen. 

Ditanya sama ada mahu menetap di rumah sempurna, Meleheng menggeleng dan menjawab: “Hidup kami di laut. Jika diberi perahu, kami pindah. Kalau rumah beratap di atas tanah, kami tidak mahu.”

No comments:

Post a Comment