COPENHAGEN 8 Jun - Kartunis Denmark yang mencetuskan bantahan umat Islam kerana melukis karikatur yang menghina Nabi Muhammad mengumumkan dia akan bersara dengan harapan untuk mengurangkan bahaya ke atas dirinya dan wartawan lain.
Kurt Westergaard semalam berkata, sudah tiba masanya untuk dia menamatkan kerjayanya selama 25 tahun dengan akhbar Jyllands-Posten yang mula menyiarkan karikatur tersebut pada September 2005.
Penyiaran karikatur itu yang mencetuskan protes di seluruh dunia terhadap Denmark dan akhbar tersebut serta ugutan bunuh terhadap Westergaard.
"Saya tidak mahu lagi membahayakan keselamatan akhbar ini serta kakitangannya, dan saya hanya mahu melakukan kerja lain," kata kartunis itu.
Januari lalu, dia menjadi sasaran percubaan bunuh oleh seorang lelaki Somalia di rumahnya dekat pekan Arhus, tengah Denmark.
Westergaard, 75, terselamat dengan menguncikan diri di dalam bilik air yang dipasang pintu kebal, dan mendapat perlindungan polis selepas kejadian itu.
"Saya berharap pemergian saya akan membantu mengurangkan ancaman terhadap Jyllands-Posten," kata Westergaard.
Karikatur Nabi Muhammad itu mencetuskan protes pada Januari dan Februari 2006 dan memuncak dengan insiden pembakaran pejabat diplomatik Denmark di Damsyik dan Beirut dan kematian berpuluh-puluh orang di Nigeria.
Pada 2008, 20 akhbar Denmark menyiarkan semula lukisan kartun itu, mencetuskan protes lanjut di negara Islam seperti Sudan, Mesir, Pakistan dan Indonesia.
Westergaard diberi cuti oleh Jyllands-Posten atas sebab-sebab keselamatan sejak November lalu selepas dua lelaki ditangkap di Chicago atas tuduhan merancang untuk menyerang akhbar itu. - AFP
No comments:
Post a Comment