Hishammuddin dedah strategi 3S pembangkang
KOTA MARUDU 20 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mendedahkan strategi pakatan pembangkang dikenali 3S bertujuan mengukuhkan kembali pengaruh politik pakatan tersebut yang semakin longgar menjelang pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, strategi 3S tersebut merujuk kepada mempertahankan Selangor, serang Sabah dan serang Sarawak.
Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya bersedia berhadapan dengan serangan-serangan pakatan pembangkang yang bakal berkisar kepada politik kebencian dan mengadu-domba rakyat di negara ini.
''Mereka akan cuba memporak-perandakan perasaan rakyat. Melaga-lagakan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak malah akan menggunakan agama untuk mencapai cita-cita mereka.
''Oleh itu, jangan kita leka dan jangan kita berasa kita kuat. Kita mesti melawan apa sahaja tuduhan yang bakal dilemparkan pakatan pembangkang itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Marudu di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Wetrom Bahanda dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak.
Hishammuddin berkata, pakatan pembangkang akan menggunakan pendekatan untuk meraih sokongan dan bukannya membela nasib rakyat.
Katanya, bagi meraih sokongan itu mereka akan menyerang institusi seperti polis dan mahkamah, bermain dengan sentimen kenegerian serta menidakkan segala kejayaan yang dilakukan kerajaan hari ini.
Beliau menambah, serangan terhadap Felda merupakan salah satu gerakan halus pembangkang dalam menghakis keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Oleh itu, ahli UMNO dan BN perlu bangkit untuk menangkis segala fitnah dan mempertahankan kejayaan yang telah dibina oleh pemimpin BN terdahulu.
Kepada parti komponen BN lain, Hishammuddin menasihatkan supaya mereka tidak mudah goyah dengan pendirian dan terus berjuang walaupun diasak dengan pelbagai fitnah dan pembohongan.
No comments:
Post a Comment