Wednesday, July 21, 2010

Mengapa bersama pemimpin UMNO



GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mempertikaikan tindakan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus mengadakan sidang media bersama pemimpin UMNO untuk membalasnya kenyataannya kelmarin. 

Guan Eng berkata, sebagai penjawat awam, Nik Ali melanggar etika kerana mengadakan sidang media bersama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Farid Saad. 

“Saya rasa dia lupa penjawat awam perlu bersikap neutral dan bukannya mengheret mana-mana parti untuk masuk campur dalam hal ini. 

“Nik Ali sepatutnya letak jawatan sebagai penjawat awam, masuk politik dan bertanding dalam pilihan raya kerana dia dilihat cenderung ke arah politik sehingga mengadakan sidang media bersama Azhar dan Farid,” katanya. 

Menurutnya, isu perlombongan pasir yang dipercayai beroperasi secara haram di tanah milik Kerajaan Persekutuan di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau bermula sejak 2002 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang. 

“ Ini cerita lama, bukan baru seperti yang dikatakan Farid. Dia ingat saya tidak biasa dengan keadaan di negeri ini, dia boleh buat sesuka hati? Dia kena ingat, walaupun saya baru di sini, saya masih ada pegawai yang merekod segala yang berlaku dan pegawai saya bukan macam pegawai yang BN ada dulu,” katanya. 

Guan Eng turut memberi amaran kepada Nik Ali supaya tidak mengheret Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zainal Rahim Seman dalam isu itu kerana beliau bertanggungjawab sepenuhnya sebagai Ketua Menteri. 

“ Kalau nak serang, serang saya. Jangan serang pegawai saya yang selama ini sangat bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan kerana saya yang bertanggungjawab atas kredibiliti pegawai saya selaras dengan prinsip akauntabiliti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. 

“ Saya rasa mungkin Nik Ali dengki dan tidak rasa senang dengan SUK, sebab itu dia heret SUK masuk ke dalam isu ini sedangkan terang-terang salah dia sendiri seperti yang berlaku pada pintu gerbang Taman Botani,” katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri disabotaj dengan cara ‘senyap’ oleh masalah seperti itu apabila cuba mengheret Kerajaan Negeri untuk bertanggungjawab sedangkan yang terlibat adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment