Wednesday, July 21, 2010

Depot tahanan PATI penuh, operasi besar-besaran tergendala


SEREMBAN 20 Julai - Jabatan Imigresen negeri terpaksa mengehadkan operasi mengesan pendatang asing ekoran depot tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara yang telah penuh.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Pisal Mustafa berkata, masalah itu juga menyumbang terhadap pelbagai permasalahan di kalangan PATI apabila mereka semakin 'naik tocang' dan bebas bergerak di seluruh negara.
"Operasi besar-besaran untuk menahan PATI di negeri ini tergendala dan terpaksa dihadkan kerana buat masa ini depot tahanan di Lenggeng sudah penuh.
"Depot berkenaan yang hanya mampu menampung 1,500 tahanan dalam satu-satu masa turut menempatkan warga asing yang ditahan di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu disebabkan oleh Depot Tahanan PATI di Semenyih yang sebelum ini menjadi lokasi untuk menempatkan warga asing yang ditahan sekitar Lembah Klang ditutup sementara waktu.
Pisal memberitahu, operasi penguatkuasaan untuk menahan warga asing yang melanggar undang-undang di sekitar negeri ini hanya akan dijalankan sekiranya terdapat kekosongan dan ruang di depot tahanan berkenaan.
''Depot tahanan di Lenggeng sentiasa berada di paras yang penuh dan kita hanya boleh menjalankan operasi apabila terdapat warga asing yang telah dihantar pulang," jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan depot tahanan lain di negara ini turut mengalami masalah yang sama.
''Operasi itu turut dipengaruhi oleh masalah penanggungan kos yang tinggi bagi menghantar mereka pulang ke negara asal.
''Kalau warga Indonesia mungkin sedikit murah kerana kita boleh menghantar mereka menggunakan bot, berbanding warga asing dari Bangladesh atau negara lain yang jauh, kerana ia membabitkan kos penerbangan," jelasnya.
Bagaimanapun tegas Pisal, pihaknya tetap menjalankan operasi berdasarkan maklumat atau sebarang aduan yang diterima.
Ketika ini katanya, dianggarkan 45 peratus tahanan di depot Lenggeng merupakan warga Indonesia diikuti 25 peratus Myanmar dan selebihnya lain-lain negara.

No comments:

Post a Comment