Tidak kisah harga gula, petrol naik
BERA – Beberapa orang awam yang ditemui Sinar Harian di sini, rata-rata tidak membantah dengan kenaikan harga gula dan petrol yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.
:Mereka beranggapan, tindakan kerajaan itu wajar kerana ia sebagai langkah menjaga kebajikan rakyat untuk jangka masa panjang dan bukannya membebankan rakyat sebagaimana diandaikan segelintir pihak.
Ketua Blok 8 Felda Tembangau 2, Ismail Shafie berkata, kenaikan harga petrol sebanyak lima sen tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna, lebih-lebih lagi ia sememangnya menjadi keperluan seharian.
Menurutnya, sehingga kini, tiada pengguna yang merungut mengenai perkara itu kerana masing-masing memahami keperluan kerajaan berbuat demikian.
“Kenaikan itu langsung tidak dirasai kerana kadar kenaikan yang rendah. Lagipun, tiada sebab pengguna memberontak atau membantah kerana ia membantu kita tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian.
Ismail berkata, bagi pengguna yang bijak, mereka wajar berfikir secara rasional di sebalik tindakan kerajaan mengurangkan subsidi.
Katanya, sebelum ini kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi bagi barang-barang kawalan, malah rakyat terlalu dimanjakan dengan kaedah itu.
“Sekarang ini kita telah berdaya maju, subsidi ini seharusnya ditarik sedikit demi sedikit supaya wang tersebut dapat disalurkan kepada hal-hal berkaitan kebajikan dan kemiskinan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Safie Abdullah berkata, pengguna tidak perlu berterusan menyalahkan kerajaan mengenai kenaikan harga barang kawalan terutamanya gula.
Menurutnya, kenaikan harga petrol juga tidak boleh dijadikan alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barangan lain.
Katanya, tindakan kerajaan menaikkan harga gula seharusnya dipandang dari sudut positif dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan dalam kalangan pengguna.
“Berdasarkan statistik, kita boleh lihat ramai kalangan orang muda mengidap pelbagai penyakit kerana pengambilan gula secara berlebihan.
“Secara tidak langsung, kenaikan harga gula ini mampu mengawal pengguna menjaga kesihatan mereka,” katanya.
Safie berkata, walaupun harga gula naik, peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan terutamanya pada Ramadan ini hanya kerana mahu mengaut keuntungan berikutan kenaikan harga barang kawalan itu.
No comments:
Post a Comment