Wednesday, July 21, 2010

Khidmat guaman percuma




MEDAN ISTANA – Pakatan Rakyat (PR) menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada rakyat tanpa mengira sentimen politik yang ingin membawa isu saman ekor ke mahkamah bagi menuntut keadilan. 

Pengarah Pilihan Raya Pas Perak, Asmuni Awi berkata, tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang enggan memperbaharui cukai jalan kepada pesalah sama ekor adalah bertentangan undang-undang. 

Asmuni yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, pesalah saman ekor seperti dianiaya kerana mereka tidak pernah dibuktikan bersalah sama ada melalui pengakuan ataupun pihak pendakwa. 

“Justeru, ia kelihatan seperti satu penganiayaan kepada pengguna jalan raya kerana mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya kesalahan yang dilakukan,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas Perak di sini, semalam. 

Beliau berkata, kegagalan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan seolah-olah sudah terbukti bersalah oleh mahkamah dan ini bercanggah dengan prinsip keadilan. 

“Justeru, pengguna jalan raya mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu dan diberi peluang membela diri di mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman ke atas mereka,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas I, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau akan membangkitkan isu saman ekor dalam Dewan Rakyat kerana telah menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai. 

Menurutnya, tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman. 

“Sejak 10 tahun lalu kira-kira 10 juta saman ekor dikeluarkan di seluruh negara dan disebabkan pengeluaran saman itu agak samar saya akan menegakkan keadilan dengan membawa perkara itu ke Dewan Negara supaya rakyat tidak akan teraniaya pada masa hadapan. 

“Jika dihitung jumlahnya mencecah RM2 bilion dan saman ekor ini seolah-olah untuk mendapatkan hasil kutipan cukai dengan cara paling mudah,” katanya. 

Mohammad Nizar berkata, rakyat yang berhadapan dengan masalah itu boleh hadir ke Pejabat PR untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman percuma daripada peguam mereka.

No comments:

Post a Comment