Wednesday, July 21, 2010

Rumah kedai berusia 100 tahun bakal diroboh


RUMAH kedai berusia 100 tahun di Jalan Pekan Lama, Bayan Lepas ini bakal dirobohkan bila-bila masa.


PULAU PINANG 20 Julai - Rumah kedai dengan reka bentuk seni warisan sejarah silam di sepanjang Jalan Pekan Lama, Bayan Lepas di sini telah wujud sejak 100 tahun lalu.
Pembinaannya yang menepati konsep persekitaran hijau dan perkampungan pelbagai kaum itu ternyata telah memberi impak besar kepada para peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan.
Namun keunikan deretan rumah kedai itu hanya akan tinggal kenangan kepada pemiliknya dan penduduk kawasan itu tidak lama lagi.
Ini kerana ia bakal dirobohkan pada bila-bila masa bagi memberi peluang projek pembangunan dijalankan di kawasan itu.
Projek kerajaan negeri itu telah mencetuskan kebimbangan kepada para peniaga di kawasan berkenaan.
Seorang peniaga, Koi Hak Seng, 50, yang telah berniaga sejak lebih 20 tahun lalu berkata, biarpun berat untuk meninggalkan kedai seluas 297.3 meter persegi (3,200 kaki persegi) itu, dia terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat kerajaan negeri.
"Saya harap pihak kerajaan negeri datang berjumpa dengan para peniaga dan berbincang mengenai cadangan yang akan diputuskan nanti.
"Jangan senyap sahaja sehingga membuat kami tertanya-tanya tentang nasib kami selepas ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan di kawasan berkenaan menunjukkan hampir 50 premis dan kedai persendirian terletak di sepanjang jalan yang menghubungkan pekan itu dengan pusat bandar dan berkedudukan agak rapat dengan jalan raya.
Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng berkata, deretan rumah kedai tersebut akan dirobohkan bagi membolehkan pelaksanaan projek pelebaran jalan dari Jalan Persekutuan Bayan Lepas sehingga ke Teluk Kumbar.
Menurutnya, bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, kerajaan negeri memohon projek pelebaran sepanjang 7.2 kilometer di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) daripada Kerajaan Pusat.
"Bagi menyelesaikan isu ini, kita telah mengenal pasti kos pelaksanaannya yang menelan belanja RM240 juta dan keputusannya akan diketahui pada Oktober ini.
"Peluang untuk kita mendapatkan projek ini amat cerah kerana kewujudan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 2013 dan lapangan terbang yang menjadikan laluan itu sebagai laluan darat utama bagi keluar dari arah barat daya dan timur laut," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Lampu Isyarat di Jalan Dato' Ismail Hashim ke Simpang Batu Maung di sini hari ini, Hock Seng berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pampasan yang sesuai kepada pemilik premis yang dirobohkan.
"Sekiranya diluluskan, kita perlu mengkaji reka bentuk jalan yang akan dilebarkan kepada empat laluan dan memberi pampasan munasabah kepada pemilik kedai.
"Setakat ini, kita belum memutuskan lagi bentuk pampasan. Bagaimanapun ia hanya melibatkan perobohan rumah kedai manakala Balai Polis sedia ada di kawasan itu akan terus dikekalkan," katanya.

No comments:

Post a Comment