TANAH MERAH 20 Julai - Seramai 47 penduduk di Ulu Kusial menuntut kerajaan negeri memberikan hak kepada mereka terhadap ladang getah seluas kira-kira 80 hektar di Air Piau di sini.
Kumpulan tersebut yang mendakwa merupakan peneroka tanah di kawasan itu mendesak Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang kini menguruskan ladang berkenaan memulangkannya kepada mereka.
Seorang peneroka, Zakaria Yusof, 70 mendakwa, dia merupakan antara penduduk awal yang membuka kawasan seluas lima hektar di situ sekitar tahun 1970-an sebelum disertai penduduk lain.
Katanya, mereka telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa ketika itu bahawa tanah tersebut akan menjadi milik mereka selepas ia berjaya dibuka.
Beliau berkata, hasil tanaman mereka kurang berjaya kerana dirosakkan binatang liar termasuk gajah menyebabkan mereka menaruh harapan kepada agensi kerajaan untuk membangunkannya.
“Kami menerima cadangan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) untuk diusahakan.
“Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh kesemua peneroka dan diuruskan oleh orang tengah termasuk wakil rakyat kawasan kami ketika itu kerana para peneroka tidak begitu arif dengan prosedur berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, mengikut perjanjian yang dimeterai sekitar tahun 1980-an, tanah tersebut akan diserahkan kepada Felcra selama tiga tahun untuk dibangunkan dan akan dipulangkan balik kepada peneroka selepas kos pembangunan dibayar.
Bagaimanapun katanya, baru-baru ini mereka dimaklumkan bahawa tanah tersebut tidak lagi diuruskan oleh Felcra sebaliknya diserahkan kepada PMBK sejak 2007.
Seorang lagi penduduk, Hanafi Mat Amin, 55, berkata, peneroka asal kawasan tersebut berhak untuk menjadi pemilik tanah itu memandangkan apa yang telah dilakukan mereka sejak tiga dekad lalu.
“Kami bersedia membayar jumlah premium yang dikenakan kerana ini adalah tanah yang kami usahakan.
“Kami tidak akan teragak-agak menyekat pekerja ladang untuk melakukan kerja mereka sekiranya permintaan ini tidak ditunaikan,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment