Wednesday, July 21, 2010

Kampung Baru milik Melayu


KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menegaskan hak milik tanah di Kampung Baru akan kekal 100 peratus di tangan orang Melayu.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, cadangan membangunkan hartanah di Kampung Baru berdasarkan nisbah 60:40 bagi bumiputera dan bukan bumiputera hanyalah cadangan awal untuk sewaan, pajakan dan pemilikan unit di pembangunan bertingkat sahaja.
Jelasnya, cadangan nisbah berkenaan bukan pemilikan tanah golongan bukan Melayu di Kampung Baru.
“Memang benar bahawa pada suatu ketika dahulu tanah-tanah di Kampung Baru tertakluk kepada Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 yang membolehkan golongan bukan Melayu menghuni dan memiliki hartanah di kawasan itu.
“Bagaimanapun, kini hampir semua tanah di MAS telah dikeluarkan hak milik iaitu menjadi tanah beri milik di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
‘‘Justeru segala urusan hak milik tanah Kampung Baru perlu dibuat mengikut peruntukan KTN 1965 yang ditadbir oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).
“Selain itu, walaupun tanah di Kampung Baru bukanlah Tanah Rizab Melayu tetapi ia mempunyai sekatan kepentingan yang hampir sama dengannya iaitu tanah yang diberi milik ini tidak boleh diduduki atau dipindah milik kepada golongan bukan Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim pada sidang Dewan Negara hari ini.
Pada Mei lalu, cadangan hak pemilikan tanah orang Melayu di kawasan Kampung Baru akan diberikan kuota 40 peratus kepada masyarakat bukan Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan apabila projek Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan kelak.
Cadangan itu bertujuan memaksimumkan potensi pembangunan di kawasan tersebut dan ia tidak terhad kepada kaum bukan Melayu di negara ini tetapi mungkin juga pelabur-pelabur asing yang berminat.
Bagaimanapun, ia secara tidak langsung menjadi satu dilema dalam isu-isu tanah di kawasan berkenaan selain disifatkan akan mengehadkan potensi pembangunan Kampung Baru, sekiranya sekatan itu dikekalkan.
Sementara itu, mengulas lanjut pembangunan di Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata, kerajaan merancang untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru di bawah satu akta Parlimen yang bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan di Kampung Baru.
“Kerajaan turut mempelawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) untuk bersama-sama menjayakan pembangunan berkenaan.
“Bagaimanapun, kerajaan masih memerlukan lebih masa untuk mengadakan perundingan dengan seramai 4,500 pemilik tanah di Kampung Baru bagi mendapat persetujuan terhadap pembangunan berkenaan sebelum menetapkan tarikh untuk memulakan projek berkenaan,” katanya.
Kata Raja Nong Chik, beliau berharap projek pembangunan Kampung Baru dimulakan tahun depan

No comments:

Post a Comment