Kuasa politik Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah-belah
LEDANG 6 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kuasa politik yang dipegang orang Melayu selama ini mungkin hilang sekiranya masyarakat itu berpecah-belah sesama sendiri.
Tegas beliau, hanya dengan bersatu, orang Melayu dapat mengekalkan pelbagai pencapaian kemajuan yang dinikmati dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan pelajaran sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu.
Tegasnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir selama ini berjaya membuktikan pembangunan negara bukan sahaja dinikmati masyarakat bumiputera malah turut dirasai segenap bangsa lain.
"Perpaduan adalah penting, jangan kita pecah belah, di kampung juga jangan kita berbalah, jangan gaduh sesama sendiri.
"Kita perlu bersatu untuk maju terutama dalam soal politik kerana jika kita berpecah, kuasa politik yang kita ada pada hari ini juga boleh hilang," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Israk Mikraj di Masjid Al Ansar, Kampung Parit Raja, Gersik, dekat sini, semalam.
Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.
Sementara itu, menurut Muhyiddin, UMNO yang menerajui kerajaan BN berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh di dunia.
"Walaupun perbezaan agama, budaya dan latar belakang berlainan, namun kita dapat hidup tanpa perselisihan yang boleh mewujudkan pergaduhan sehingga berlaku pertumpahan darah," katanya.
Tambahnya lagi, tuntutan fardu kifayah dalam Islam untuk membasmi kemiskinan juga berjaya dilaksanakan kerajaan BN dengan pelbagai pencapaian kemajuan lain dalam bidang ekonomi dan pelajaran.
Jelasnya, berbanding zaman penjajah, kira-kira 60 peratus rakyat negara ini terpaksa hidup dalam kemiskinan namun jumlah itu kini hanya tinggal tiga peratus sahaja.
"Berbanding banyak negara Islam yang lain, kita sudah berjaya menyelesaikan masalah pokok ini namun kita mahu meningkatkan lagi kemajuan umat Islam dalam bidang ekonomi," katanya.
No comments:
Post a Comment