Anwar, Zaid perlu perjelaskan
KUALA LUMPUR 6 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai hubungan parti itu dengan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.
Bekas wakil rakyat PKR, Wee Choo Keong berkata, jika mereka tidak menjelaskan pendirian berhubung perkara itu, anggapan boleh dibuat yang PKR bersekongkol dengan Raja Petra memburukkan nama negara.
Tegasnya, sebagai pemimpin dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, Anwar dan Zaid sepatutnya tidak perlu didesak untuk berbuat demikian.
"Mereka berdua perlu jelaskan hubungan PKR dengan Raja Petra dan P. Balasubramaniam iaitu siapa yang menaja kedua-duanya untuk hidup dengan selesa di United Kingdom.
"Jika tiada kaitan langsung, sepatutnya pujuk mereka berdua pulang untuk mengadili apa yang mereka dakwa selama ini. Ia sebenarnya beri tanggapan buruk kepada rakyat bahawa PKR nampak seperti bersekongkol dengan mereka berdua memburukkan nama negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju itu diminta mengulas gambar Zaid, Raja Petra, Balasubramaniam dan dua individu lain yang disiarkan di laman web Malaysia-instinct.comsemalam.
Dipercayai, gambar itu dirakamkan di United Kingdom kerana kedua-dua individu berkenaan berada di negara tersebut.
Pada 30 Jun lalu, laman web Malaysia Today menyiarkan gambar Raja Petra bersama Zaid.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui Malaysia Today.
Balasubramaniam pula menghilangkan diri ke luar negara selepas memberi dua perakuan sumpah berbeza berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Choo Keong mempersoalkan adakah PKR mahu ahlinya dan seluruh rakyat negara ini berterusan menganggap parti itu dalang utama di sebalik kegiatan Raja Petra dan Balasubramaniam.
Selain itu, beliau juga mendesak kerajaan bersikap proaktif untuk membawa pulang kedua-dua individu yang dikehendaki itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
"Memang ada halangan tetapi percayalah tetap ada caranya. Persoalan masih lagi timbul siapa dan pihak manakah yang menaja mereka berdua kerana semua sudah sedia maklum bahawa kos hidup di United Kingdom amat tinggi," katanya.
Bekas Ketua Penerangan Keadilan Nasional (kini PKR), Ruslan Kassim pula menyelar Raja Petra dan Balasubramaniam yang disifatkan sebagai dayus dan bacul kerana memburukkan negara, tetapi pada masa sama tidak berani untuk diadili.
"Berani kerana benar, kena bertanggungjawab terhadap setiap dakwaan yang dibuat, jangan baling batu tetapi sembunyikan tangan. Kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.
"Berdasarkan kepada gambar yang begitu mesra itu, jelas membuktikan bahawa Raja Petra dan Subramaniam mendokong dan didokong oleh PKR," katanya.
Ruslan yang kini Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga menyifatkan Anwar dan Zaid sebagai pemimpin licik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi.
"Anwar apabila berada di pentas negara ini bercakap berdegar-degar bahawa beliaulah pejuang kaum, Islam dan penentang segala usaha merosakkan negara ini. Tetapi hakikat adalah sebaliknya, jelaskan pendirian jangan berdiam diri (dalam isu Raja Petra dan Balasubramaniam)," katanya.
No comments:
Post a Comment