Wednesday, July 7, 2010

Warga emas degil dijel, denda RM10,000


SHAH ALAM – Seorang warga emas degil merasuah seorang pegawai polis dikenakan penjara 15 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Chang Too Kau @ Chong Eng Chuan, 66, mengaku salah memberi suapan RM500 kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Inspektor Alfian Mohd Zainal supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana melindungi seorang wanita Vietnam yang memiliki pas lawatan tamat tempoh berada di Malaysia. 

Too Kau didakwa memberi rasuah kepada pegawai daripada Cawangan Trafik Bandar Baru Salak Tinggi itu kira-kira jam 12.30 tengah malam di Jalan Banting – Nilai, Sepang pada 29 April lalu. 

Semasa sekatan jalan raya polis menahan sebuah kereta Proton Satria yang dipandu seorang lelaki Melayu membawa tiga warganegara Vietnam. 

Bagaimanapun hanya seorang daripada penumpang itu memiliki pasport sah sementara dua lagi hanya mengemukakan salinan. 

Polis mengarahkan mereka menghubungi majikan iaitu tertuduh datang bersama anak perempuannya. 

Setelah diperiksa seorang daripada warga asing itu memiliki pas lawatan tamat tempoh. 

Warga emas itu kemudian berkali-kali menyogok dengan memberi RM500 kepada pegawai itu agar tidak mengambil tindakan terhadapnya. 

Bagaimanapun pegawai berkenaan menolak rasuah itu dan tertuduh ditangkap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam operasi sekatan jalan raya itu. 

Too Kau yang berniaga secara kecil-kecilan menjual perkakas logam merayu hukuman ringan setelah insaf terhadap perbuatannya. 

Selain tidak berpendapatan tetap dia juga menghidap darah tinggi, sakit buah pinggang dan lemah badan akibat tua serta menjaga seorang anak sakit mental. 

Menurutnya, wanita tidak memiliki pas lawatan itu ialah isteri kepada salah seorang daripada pekerjanya. 

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan dia dipenjara lagi lima bulan sekiranya gagal melunaskan denda.

No comments:

Post a Comment