Wednesday, July 7, 2010

Kos lawatan Pope melambung



LONDON 6 Julai – Kos yang ditanggung oleh pembayar cukai semasa lawatan pertama Pope Benedict XVI (gambar) ke Britain mungkin meningkat sebanyak 50 peratus, demikian menurut kerajaan hari ini, ketika pelbagai pengurangan perbelanjaan dibuat bagi menangani masalah defisit bajet.
Ketua Biskop Vincent Nichols, Ketua Katolik di England dan Wales berkata, lawatan itu yang dijadual pada September ini merupakan saat bersejarah termasuk ‘berdiri sebelah menyebelah’ dengan Ratu Elizabeth, gabenor tertinggi Gereja England.
Namun, kos lawatan itu dijangka meningkat antara 10 juta hingga 12 juta pound (RM48.8 juta hingga RM58.6 juta) berbanding anggaran awal kira-kira lapan juta pound (RM39 juta), kata wakil khas Perdana Menteri untuk lawatan Pope, Chris Patten kepada pemberita.
Sumbangan dari Gereja Roman Katolik juga dijangka bertambah daripada anggaran awal kira-kira tujuh juta pound (RM34.2 juta). Setakat ini sebanyak lima juta pound (RM24.4 juta) dikumpulkan, sebahagian besarnya dikutip daripada lima juta pengikut dan daripada sumbangan peribadi.
Kes keselamatan termasuk kawalan polis masih belum didedahkan.
Patten berkata, kos awal tidak mengambil kira ‘kerumitan dan sofistikasi’ lawatan yang merupakan gabungan elemen negara dan keagamaan.
Ahad lalu, kerajaan perpaduan meminta jabatan kerajaan memotong perbelanjaan sebanyak 40 peratus, lebih tinggi daripada yang diumumkan dalam belanjawan kecemasan pada bulan lalu.
Potongan belanja dan cukai yang tinggi diperlukan bagi menangani defisit bajet setinggi 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam usaha memulihkan keyakinan pasaran, selain mengelak England menjadi negara yang mempunyai hutang yang banyak seperti Greece. – REUTERS

No comments:

Post a Comment