Wednesday, July 7, 2010

Polis kenalpasti 10 'sekolah panas'



KUALA LUMPUR - Sepuluh sekolah menengah di sekitar ibu negara dikenalpasti sebagai sekolah bermasalah atau ‘sekolah panas’ kerana masalah disiplin, jenayah dan sosial di kalangan pelajarnya.        

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis telah menyenaraikan sekolah-sekolah berkenaan agar usaha dapat digembleng ke arah menangani masalah itu dan memastikan sekolah sifar jenayah. 

“Berikutan banyak kes jenayah dan sosial berlaku membabitkan pelajar sekolah, kami bertindak mengenalpasti sekolah panas agar kami dapat memberi fokus dan menjalankan kempen pencegahan jenayah secara kerap di sekolah-sekolah berkenaan. 

“Kami tidak mahu umumkan sekolah mana yang terlibat kerana ia tidak elok untuk imej dan reputasi sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pendidikan Pencegahan Dadah dan Jenayah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri, di sini semalam. 

Beliau berkata, aktiviti seperti pameran, ceramah, dialog dan edaran risalah pencegahan jenayah akan diadakan dari semasa ke semasa di sekolah panas yang telah dikenalpasti itu bagi mengingatkan pelajar agar menjauhkan diri daripada masalah sosial dan jenayah. 

Muhammad Sabtu berkata seorang pegawai polis berpangkat ASP turut ditugaskan ke sekolah berkenaan sebagai “liaison officer” untuk memantau serta berbincang bersama pihak sekolah termasuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan. 

No comments:

Post a Comment