Monday, August 23, 2010

Kariah masjid nafi dakwaan

PERMATANG PAUH: Kariah Masjid Jamek Al-Hidayah, Jalan Baru, di sini, menafikan pihaknya turut terbabit mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa khutbah solat Jumaat seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Pengerusinya, Ishak Mohd, berkata beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui akhbar utama dan berita di televisyen yang mengatakan masjid di bawah kendaliannya terbabit dalam kes berkenaan.
Katanya, pihaknya dukacita terhadap dakwaan berkenaan kerana perkara itu langsung tidak berlaku berikutan mereka sentiasa memantau pergerakan di masjid berkenaan dan setiap permasalahan yang timbul dibincangkan dalam kariahnya terlebih dulu.

“Saya menafikan perkara itu (doa kepada Lim Guan Eng) berlaku selain kami juga tidak pernah menjemput penceramah luar datang memberi ceramah di masjid kami sejak kami memegang pentadbiran masjid ini empat tahun lalu. “Kenapa kami perlu mengambil penceramah dari luar sedangkan kami sudah mempunyai empat khatib terdiri daripada kadi Bukit Mertajam dan tiga imam masjid ini bagi membacakan khutbah solat Jumaat.

“Apa yang saya kesalkan, dakwaan itu mencemarkan nama baik masjid ini. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana masjid adalah tempat untuk beribadat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Imam Ketiga masjid berkenaan, Dalba Dansa Merican @ Nazir Ishak Merican pula berkata, beliau terkejut apabila membaca laporan akhbar pada 13 Ogos lalu mengenai kes mendoakan kesejahteraan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di masjid berkenaan.

Menurutnya, beliau pelik dan kecewa terhadap laporan berkenaan yang disifatkan tidak benar dan tidak tahu siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan cerita tidak betul itu.

No comments:

Post a Comment