Monday, August 23, 2010

Cara baru dengar khutbah




IPOH - Perkhidmatan produk AKORiman.net dari Akademi Komputer Rakyat (AKOR) menjadi kaedah baru dalam penyampaian dakwah atau khutbah di semua masjid di daerah ini. 

Penasihat Agama kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz berkata, ia merupakan cara menarik jemaah datang masjid dengan menggunakan sistem komunikasi teknologi maklumat (ICT). 

Menurutnya, sistem ini akan disyorkan kepada Menteri Besar dalam memperluaskan penggunaan ICT sebagai medium penyebaran agama Islam. 

“Adanya program ini, ICT menjadi daya penarik menaikkan semangat jemaah untuk mendengar khutbah dan menarik minat pengunjung masjid. 

“Sekali klik akoriman.net ini, pelbagai maklumat dapat dipraktikkan di kalangan jemaah,” katanya ketika berucap merasmikan Program mengimarahkan masjid dengan ICT dan pelancaran website AKORiman.net di dewan Masjid Sultan Azlan Shah di sini, semalam. 

Mohd Najmuddin berkata, seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid di seluruh daerah perlu bertindak sebagai pegawai ICT bagi memastikan sistem ini berjalan lancar. 

“Saya juga syorkan seorang AJK masjid di seluruh daerah datang berkursus dengan akademi ini untuk dipraktikkan di masjid masing-masing. Dengan adanya kemudahan teknologi membolehkan jemaah berasa selesa beribadah dan mengikuti tazkirah di masjid. 

“Penyampaian dakwah ilmu Islam di masjid akan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Akoriman.net ini menjadikan sistem pentadbiran masjid lebih teratur dan kemas,” katanya.

No comments:

Post a Comment