BUTTERWORTH: “Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan kepemimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.” Itu doa dibacakan khatib dalam khutbah kedua solat Jumaat yang masih berlaku kelmarin tanpa menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya nama Setiausaha Agung DAP itu.
Insiden berlaku di Masjid Kubang Buaya, Bagan, dekat sini, kelmarin dan beberapa saksi yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu mendakwa khatib yang membaca doa adalah Zakaria Ahmad yang juga adik Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad.
Zakaria bagaimanapun tidak mendoakan kesejahteraan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang dan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang sepatutnya dibacakan dalam doa kedua solat Jumaat.
Berikutan itu, tiga saksi yang mendengar doa berkenaan, Mohd Shahril Harun, Mohd Radzi Hussain dan Muhammad Fahmie Omar membuat laporan di Balai Polis Butterworth sambil ditemani Pemuda Umno Pulau Pinang, semalam.
Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Naina Merican dan Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin.
Mohd Radzi berkata dia mendengar jelas doa dibaca Zakaria yang mendoakan kesejahteraan Guan Eng dan langsung tidak mendoakan kesejahteraan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tun Abdul Rahman Abbas.
“Saya dengar cuma Guan Eng. Ramai jemaah dalam masjid itu terkejut, semua saling berpandangan selepas mendengarnya,” katanya di sini, semalam.
Mohd Sharil berkata, dia kecewa dengan kenyataan Zakaria dan menggesa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) segera mengambil tindakan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaacob, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu dan sudah memulakan siasatan.
“Namun kami belum mengklasifikasikan kes terbabit untuk disiasat mengikut seksyen mana kerana memerlukan kajian mendalam terlebih dulu,” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
No comments:
Post a Comment