Monday, August 23, 2010

Dua beradik menderita talasemia




MERSING - Orangnya bertubuh kecil sahaja seperti kanak-kanak sekolah rendah namun hakikatnya gadis sunti ini sudah mencecah usia 19 tahun. Keadaan fizikal inilah yang dimiliki dua beranak malang yang menghidap penyakit talasemia sejak dilahirkan di Kampung Sri Lumpur, di sini. 

Norliah Abdul Karim, 19, dan kakaknya Nurfarazila Abd Karim, 23, menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan kini dua beradik berkenaan menerima rawatan daripada Hospital Mersing setiap bulan untuk menambah darah. 

Nurfarazila berkata, jika darah lewat dimasukkan ke dalam tubuh, akibatnya mereka akan mengalami keletihan, lesu dan tidak bermaya. 

“Saya juga sukar mendapat pekerjaan, kerana setiap bulan saya terpaksa mengambil cuti untuk ke hospital menambah darah,” katanya yang ketika ini menganggur. 

Adiknya Norliah pula masih menuntut di Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing. 

Sementara itu, kakak mereka yang juga ibu tunggal, Normah Abdul Karim, 35, berkata, pendapatan bulanannya untuk menanggung kos hidup tiga beradik hanyalah bergantung kepada upah basuh pinggan di kedai makan sebanyak RM20 sehari. 

Katanya, walaupun mendapat bantuan kebajikan, namun ia masih tidak mencukupi. 

“Kini saya kehilangan sumber pendapatan kerana bulan puasa saya tidak bekerja disebabkan kedai makan berkenaan tutup sempena Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment