Oleh Mohd Fakri Awang Lah
2010/08/23
KUALA KRAI: Sembilan beradik yang ditinggalkan hampir setahun kini menanti penuh sabar sambil berdoa agar keberkatan Ramadan mengetuk pintu hati ibu bapa mereka untuk sekurang-kurangnya menghubungi keluarga sejurus kad ucapan terbuka sempena sambutan Aidilfitri dilayangkan mereka menerusi akhbar, semalam. Sehingga petang semalam, mereka masih berharap telefon bimbit milik datuk, Kassim Mat Diah, 55, berdering dengan panggilan daripada ibu bapa, pasangan Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansor, 31.Bagi sembilan beradik itu, kepulangan ibu bapa mereka sempena sambutan Aidilfitri ini adalah hadiah paling bermakna buat mereka sekeluarga, berbanding duit raya atau baju baru yang sentiasa diimpikan oleh kebanyakan rakan sebaya masing-masing.Semalam, tujuh daripada sembilan beradik iaitu Amirul Rizal, 11; Afiq Asyraf, 10; Natasha Emilia, 9; Arif Hafizi, 7; kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; dan Naqiuddin, 3, menitipkan kad ucapan Aidilfitri khusus buat Kasmaliza dan Mahadi, yang disiarkan pada muka semua akhbar terbitan kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).
Amirul Rizal berkata, dia dan adiknya sentiasa berdoa agar ibu bapa mereka terbuka hati untuk kembali ke pangkuan keluarga pada sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang kira-kira dua minggu lagi.
Saya dan adik hanya mahu mama dan papa balik menjaga kami seperti dulu. Kami sangat merindui mereka, tanpa mama dan papa, Aidilfitri kali ini amat menyedihkan kami sekeluarga.
Kami tidak pernah berhari raya tanpa mama dan papa, katanya, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah itu, yang kini memikul tanggungjawab besar membantu mengawasi adiknya. Dua lagi kakaknya, Nor Hidayah, 13, dan adik, Nia Khalisa, 2, dalam jagaan ibu saudara di Seremban dan Kota Bharu.
Sementara itu, Kassim berharap anak dan menantunya melupakan persengketaan yang pernah timbul antara mereka dan kembali ke kampung halaman serta menjaga anak mereka yang ditinggalkan.
Saya tak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya cuma berdoa agar mereka pulang menyambut Hari Raya bersama anak.
Jika orang ramai mempunyai maklumat anak dan menantu saya atau mereka sendiri dapat menghubungi saya menerusi talian, 013-9260756, katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Krai, Azizan Aziz, ketika mengulas kelewatan bantuan disalurkan kepada sembilan beradik terbabit, berkata bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat kerana beberapa masalah berlaku.
No comments:
Post a Comment