|
|
BATU PAHAT 15 Sept. - "Bila dengar takbir raya, teringat arwah ayah, susah nak tahan air mata daripada mengalir."
Demikian luahan seorang penghuni asrama puteri Wisma Anak Yatim Batu Pahat, Siti Masida Karim, 17, apabila ditanya mengenai perasaannya setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, dia mula menghuni asrama tersebut sejak tingkatan satu setelah bapanya meninggal dunia.
Bagi mengubati rindu, dia menyimpan gambar arwah di dalam dompet dan melawat pusara bapanya pada pagi raya.
"Dulu masa ayah ada, nak apa-apa semua dapat. Tetapi Allah lebih sayangkan ayah yang menderita penyakit darah tinggi," katanya cuba menahan kesedihan semasa ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Setelah mendedahkan kisah hidupnya itu, mata Siti Masida menjadi kemerah-merahan akibat sebak namun digagahi dengan memandang ke arah lain supaya air matanya tidak dilihat oleh sesiapa pun.
Dia yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat pulang menyambut Aidilfitri selama dua minggu di rumah ibunya di Parit Raja, di sini sebelum kembali semula menghuni asrama rumah kebajikan itu.
Rakannya, Mashitah Abu Amin, 17, juga menghuni asrama kebajikan itu sejak tingkatan satu setelah kematian bapanya yang menderita pelbagai penyakit termasuk kanser, kencing manis dan darah tinggi.
Selain merindui ayah, Mashitah sering terkenangkan arwah abangnya yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia yang masih terlalu muda iaitu ketika berusia 19 tahun.
"Saya rapat sangat dengan abang yang saya panggil 'Debab' sebab dia gemuk.
"Saya selalu bergurau dengannya namun dua tahun lalu abang meninggalkan kami semua, sedih tetapi Allah lebih sayangkan dia," katanya yang hampir menitiskan air mata.
Dia yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar di sini turut pulang menyambut Aidilfitri bersama sanak saudara di daerah ini selama dua minggu.
Kedua-dua anak yatim ini mempunyai kisah hidup yang hampir sama. Pemergian orang tersayang pada usia yang masih terlalu muda tentu memberi cabaran yang amat getir bagi mereka.
Namun di pusat kebajikan ini, mereka telah mendapat bimbingan dan bantuan. Bukan untuk melupakan kisah sedih yang dilalui, namun bagaimana menghadapinya supaya hidup dapat diteruskan sekali gus memberi 'ketenangan' kepada insan tersayang yang pergi menghadap Ilahi.
Tidak salah untuk dikenang, tidak salah juga untuk menangis, namun jika benar-benar kasih, tentu anak-anak yatim ini mahu orang tersayang tahu mereka kini mampu berdikari dan menikmati hidup bahagia.
No comments:
Post a Comment