Thursday, September 16, 2010

Zaid dicabar bertanding


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dicabar supaya bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan November ini, jika benar-benar menyanjung amalan demokrasi.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, cabaran itu wajar disahut Zaid demi menghentikan amalan nepotisme dalam PKR yang menyaksikan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai 'presiden boneka' parti tersebut.
Justeru, katanya, Zaid yang dilihat berkobar-kobar mahu menjadi salah seorang pemimpin tertinggi PKR perlu mengurai penguasaan keluarga dalam parti itu dan berjuang dengan penuh integriti mencabar kedudukan Wan Azizah.
"Jadi, Zaid perlu mencabar kepimpinan itu kerana ramai ahli PKR kini mengadu kepada saya kerana berasa mereka diperkotak-katikkan oleh penguasaan kronisme dan nepotisme Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Lagipun, Zaid yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dilihat tidak berpeluang kerana sokongan terhadap Naib Presiden, Azmin Ali jauh melebihi beliau (Zaid), jadi lebih baik bertanding Presiden," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Zamil mengulas kenyataan Anwar semalam yang mengesahkan beliau tidak akan menerima pencalonan untuk sebarang jawatan dalam parti.
Dalam kenyataan itu, Anwar memberi amaran kepada calon yang ingin bertanding supaya tidak mendakwa mereka telah mendapat restu daripadanya.
Kata Zamil, pengumuman Anwar itu, merupakan 'peringatan halus' kepada pemimpin PKR untuk tidak mencabar kedudukan Wan Azizah sebagai 'presiden boneka' parti.
Katanya, ia bagi menjamin kedudukan Wan Azizah kekal sebagai Presiden PKR walhal segala arahan dan perjalanan parti sebenarnya dibuat oleh Anwar dan Azmin.
"Kalau ahli PKR peka, jawatan Ketua Umum sebenarnya tidak ada dalam perlembagaan parti dan ia (jawatan) wujud hanya untuk memberi ruang kepada Anwar dan ahli keluarganya serta Azmin meneruskan penguasaan dalam parti," katanya.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu, seterusnya menyaksikan perebutan jawatan tersebut kini terarah kepada Zaid dan Azmin.

No comments:

Post a Comment