Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, maklumat sedemikian bukan saja menyukarkan siasatan polis malah mampu mencetuskan rasa bimbang di kalangan ahli keluarga mangsa yang masih tidak dapat menerima kehilangan mereka yang disayangi.
"Janganlah ada-adakan cerita hanya untuk melariskan jualan 'produk' masing-masing. Ingat perkara ini bukan saja menyakitkan perasaan ahli keluarga, pada masa yang sama ia boleh menimbulkan rasa marah di kalangan pembaca.
"Saya sendiri pun tak tahu yang mangsa disembelih. Dari mana akhbar ini dapat. Siapa cakap dia kena sembelih? Jangan main-main petik sumber," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lokasi kejadian pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi mangsa di sini, hari ini.
Semalam, dua akhbar melaporkan keempat-empat mangsa telah dibunuh dengan kejam iaitu disembelih sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.
Bagaimanapun, polis dalam kenyataannya semalam menafikan laporan dua akhbar tersebut.
Sementara itu, seorang penjual ais kuib yang enggan dikenali berkata, suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik itu pernah beberapa kali memintanya menghantar ketulan ais ke ladang milik suspek di Ladang Gadong, tempat mangsa dikatakan dibunuh.
"Namun disebabkan stok saya hanya cukup kepada pembeli, saya tidak sempat untuk menghantar bekalan ais kiub itu.
"Selalu juga saya tengok peguam itu (suspek utama) makan di restoran ini (Restoran Asam Batu Laut) bersama kawan-kawan dia. Dari luaran dia nampak baik, tapi tak sangka pula dia boleh menjadi suspek dalam kes pembunuhan ini," katanya.
Misteri kehilangan kesemua mangsa sejak 30 Ogos lalu itu terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang dikatakan menjadi dalang utama pembunuhan ini.
Berdasarkan pengakuan empat daripada suspek itu, polis mengesahkan, keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke sungai berhampiran Ladang Gadong.
No comments:
Post a Comment