Thursday, September 16, 2010

Felda wujudkan Maahad Tahfiz



ADUN Jengka, Wan Salman Wan Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Masjid Felda Jengka 21 di Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 15 Sept. - Felda Wilayah Jengka akan menubuhkan sebuah Maahad Tahfiz di Felda Kota Gelanggi 3 dekat Jerantut tahun depan bagi melahirkan imam muda berkemahiran tinggi dalam al-Quran di kalangan generasi baru Felda.
Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, penubuhan Maahad Tahfiz adalah cetusan idea dan kerjasama gabungan Jawatankuasa Masjid Wilayah Jengka sebagai langkah jangka panjang melahirkan pelapis imam di peringkat tanah rancangan.
Katanya, keputusan dicapai di mana setiap tanah rancangan akan menghantar dua orang pelajar berbakat mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz itu selama tiga tahun dengan dibimbing guru-guru berkemahiran dan tahfiz al-Quran.
''Sebuah bangunan bekas sekolah agama rakyat di Felda Kota Gelanggi 3 sedang dinaik taraf sebagai bilik darjah untuk pelajar mempelajari al-Quran dan mata pelajaran lain serta sebuah asrama lelaki turut disediakan.
''Pada peringkat awal, seramai 74 pelajar generasi baru Felda yang terdiri daripada anak atau cucu peneroka sebagai perintis dari 37 tanah rancangan Felda Wilayah akan ditempatkan di Maahad Tahfiz Felda Kota Gelanggi 3 itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dalam Parlimen Kuala Krau anjuran Seranta Felda di Felda Tanjung Jengka 20 dekat sini, baru-baru ini.
Saari berkata, idea penubuhan Maahad Tahfiz atas kesedaran melahirkan barisan pelapis imam berikutan generasi pertama semakin uzur atau sudah meninggal dunia.
Katanya, jawatankuasa masjid dan pengurusan Felda di peringkat rancangan akan memainkan peranan sebagai penyumbang dana kepada perjalanan Maahad Tahfiz itu seperti gaji guru, pentadbiran, peralatan dan sebagainya.
Tambahnya, masyarakat peneroka Felda juga digalak menyumbang dana secara bulanan sebagai amal jariah masing-masing dalam membantu pembangunan Maahad Tahfiz terus kukuh pada masa akan datang.
''Dijangka dalam tempoh tiga tahun Maahad Tahfiz Felda Kota Gelanggi 3 akan melahirkan graduan tahfiz yang mampu menyumbang tenaga dan kepakaran mereka di masjid termasuk mengimamkan sembahyang tarawih," katanya.

No comments:

Post a Comment