|
|
MELAKA 15 Sept. - Beberapa pengguna jalan raya meluahkan rasa bimbang dengan kewujudan sebuah lubang di Jalan Hospital di sini yang boleh menyebabkan kemalangan.
Ini kerana jalan raya tersebut sering menjadi laluan orang ramai menuju ke beberapa kawasan perumahan taman dan kampung selain bangunan kerajaan yang terdapat di situ.
Lebih membimbangkan, laluan itu juga digunakan pelawat dan kakitangan Hospital Melaka terutama jika mempunyai urusan di rumah mayat hospital berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tiada alat amaran seperti kon keselamatan diletakkan di laluan tersebut sehingga meningkatkan risiko kemalangan lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Seorang pengguna jalan raya, Moideen Ali, 43, mendakwa lubang seluas 0.5 meter dengan kedalaman kira-kira satu meter itu terbentuk sejak beberapa minggu lalu.
Menurutnya, sekali pandang, lubang tersebut mungkin tidak berbahaya tetapi tidak mustahil akan menjadi lebih besar dan runtuh kerana di bawahnya yang kosong dan menjadi laluan air.
"Ia bukan sekadar berlubang, tetapi di bawahnya kosong dan banyak sampah seperti plastik dan kayu terperangkap di bawahnya seolah-olah menjadi laluan air yang boleh runtuh pada bila-bila masa.
"Cuba bayangkan apa akan terjadi sekiranya runtuhan berlaku ketika ambulans atau motosikal sedang melaluinya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang pekerja kedai makan berhampiran yang enggan dikenali berkata, lubang tersebut sudah lama dibiarkan tanpa sebarang tindakan pihak berkaitan.
"Tanda amaran bahaya juga tidak diletakkan bagi memberitahu kepada pengguna akan kewujudan lubang tersebut.
"Keadaan ini amat membahayakan terutama kepada penunggang motosikal yang bila-bila masa sahaja boleh terperosok ke dalam lubang ini," katanya.
Seorang penghantar surat, Mohd. Aidil Deraman, 22, berkata, dia hanya menyedari kewujudan lubang tersebut kira-kira dua minggu lalu ketika meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi melawat jenazah rakannya di rumah mayat Hospital Melaka.
"Pada mulanya saya tidak perasan lubang itu, tapi selepas melihat beberapa motosikal memperlahankan kenderaan, barulah saya sedar lubang tersebut bahaya kerana di bawahnya seperti terdapat sebuah parit.
"Saya harap pihak berkenaan mengambil langkah segera menutup lubang berkenaan dan tidak hanya bertindak selepas berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.
No comments:
Post a Comment