Thursday, September 16, 2010

Majlis Peguam nafi tidak peka


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Tindakan Majlis Peguam yang berdiam diri berhubung pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lelaki lain tidak bermakna badan itu tidak peka dengan perkembangan kes tersebut.
Setiausaha Majlis Peguam, George Varughese sebaliknya berkata, badan berkenaan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini kerana polis sehingga kini belum mengumumkan senarai rasmi suspek pembunuhan berkenaan.
Tambahan pula, katanya, tiada individu yang telah didakwa di mahkamah berhubung pembunuhan tragik tersebut.
"Majlis Peguam akan hanya mengeluarkan kenyataan media selepas menerima senarai nama suspek pembunuhan itu dan sekiranya benar ia melibatkan seorang Datuk ahli badan ini (Majlis Peguam).
"Badan ini juga tidak mengeluarkan kenyataan hanya berdasarkan spekulasi semata-mata, bagaimanapun kami mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu apatah lagi jika benar ia melibatkan peguam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Baru-baru ini, polis mengesahkan menahan lapan suspek pembunuhan itu termasuk dua peguam yang salah seorang daripadanya bergelar Datuk.
Beberapa akhbar selepas itu pula melaporkan peguam bergelar Datuk berkenaan yang merupakan suspek utama pembunuhan pernah digantung lesen guaman oleh Majlis Peguam beberapa tahun lalu akibat masalah disiplin.
George menambah, mustahil untuk badan itu mengenal pasti suspek kes tersebut hanya berdasarkan gambarnya yang tersiar di beberapa akhbar.
"Kami ada 13,000 ahli dan mustahil untuk saya mengenali kesemua mereka tetapi semua pihak perlu ingat bahawa seseorang itu kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

No comments:

Post a Comment