Thursday, September 16, 2010

Polis akan panggil Shamsul Iskandar


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Polis akan memanggil Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin bagi merakamkan percakapannya berhubung tuduhan yang mengaitkan pasukan keselamatan itu dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tuduhan yang dilemparkan dan jika gagal mengemukakan bukti, beliau bakal dikenakan tindakan undang-undang.
"Jika tidak tahu fakta sebenar jangan bercakap ikut sedap mulut. Inilah kenyataan paling merepek yang pernah saya dengar dan kita akan memanggil beliau untuk dirakam percakapan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan yang dilemparkan.
"Beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kenyataan yang telah dibuat dan jika gagal mengemukakan sebarang bukti, kita akan mendakwa beliau di mahkamah selepas semua siasatan dilengkapkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kepada soalan sama ada sudah ada laporan polis dibuat berhubung tuduhan itu, Khalid berkata sehingga kini tiada laporan diterima pihaknya.
Dalam pada itu, Khalid memberi ingatan kepada semua pemimpin politik agar tidak mempolitikkan pembunuhan Sosilawati serta kes-kes jenayah lain semata-mata untuk kepentingan agenda sempit mereka atau bakal berdepan dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
"Jangan jadi ahli politik yang tiada kerja sehingga asyik hendak mempolitikkan isu-isu seperti ini. Pergilah buat kerja yang lebih baik untuk rakyat," tegasnya.

No comments:

Post a Comment