Thursday, September 16, 2010

Gangsterisme India tidak seburuk didakwa


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kementerian Dalam Negeri menjelaskan masalah gangsterisme melibatkan kaum India tidak seburuk seperti yang didakwa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, masalah tersebut tidak dinafikan wujud, namun angka yang dinyatakan Murugiah tidak dapat dipastikan kebenarannya.
"Masalah gangsterisme tidak hanya berlaku dalam masyarakat India namun turut melibatkan semua kaum.
"Justeru, kementerian ini telah memantau masalah ini secara serius serta akan mengambil tindakan mengikut keperluan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Murugiah semalam meminta Kementerian Dalam Negeri memberi penekanan serius terhadap masalah gangsterisme melibatkan kaum India kerana peratusan kes jenayah yang membabitkan mereka semakin meningkat.
Murugiah mendakwa seramai 300 belia berketurunan India di Selangor telah ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dihantar ke penjara Simpang Renggam, Johor dalam tempoh Januari hingga April lalu.
Chee Leong berkata, tidak wajar sekiranya hanya masalah gangsterisme melibatkan kaum India sahaja diberi perhatian kerana masalah tersebut turut melibatkan semua kaum di negara.
Sehubungan itu, beliau minta semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik serta masyarakat untuk menangani masalah gangsterisme.
"Murugiah juga boleh membantu dengan cara melaporkan kegiatan gangsterisme sekiranya mendapat maklumat yang tepat.
"Kita akan terus memantau secara serius masalah ini serta akan melakukan penahanan untuk mencegah jenayah bagi menjaga keselamatan orang awam," katanya.
Habis..

No comments:

Post a Comment