Thursday, September 16, 2010

Mahu anak bongsu jadi ustaz



Irfan Aiman menatap muka depan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan muka suspek utama dalam kes pembunuhan ayahnya di rumah neneknya di Kuantan, Pahang, semalam.


KUANTAN 15 Sept. - Pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shamsudin pernah menyuarakan keinginan melihat anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, menjadi seorang ustaz apabila dewasa kelak.
Kakaknya, Ramlah memberitahu perkara itu dinyatakan adiknya ketika anak saudaranya itu baru sahaja dilahirkan.
"Kamaruddin mengulangi harapan itu setiap kali pulang ke sini seolah-olah satu amanat untuk saya menunaikannya. Insya-Allah saya akan menghantar Irfan ke sekolah agama di sini pada tahun depan," katanya.
Dia ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hazmi Yusof dan Skuad Sayang Wanita UMNO Indera Mahkota.
Maznah dan Hazmi bersama skuad tersebut meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga Kamaruddin di sini.
Mereka juga sempat mengadakan majlis tahlil secara ringkas bagi menghormati pemergian Kamaruddin yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Banting baru-baru ini.
Ramlah berkata, sebelum kejadian itu, adiknya ada pulang ke Kuantan pada 27 Ogos lalu untuk menemui Irfan dan membawa anaknya membeli baju raya pada Sabtu dan Ahad.
"Kamarudin beli dua helai baju untuk Irfan dan pada malam Ahad (29 Ogos) dia meminta anaknya memakai kedua-dua baju itu sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Isnin (30 Ogos)," katanya.
Dalam pada itu, Hazmi berkata, segala urusan pengkebumian akan diuruskan oleh UMNO Indera Mahkota yang dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Bukit Ubi di sini.
Tambahnya, anak-anak dan keluarga Kamarudin juga akan turut dibantu sekiranya mereka menghadapi masalah termasuk dari segi pelajaran.

No comments:

Post a Comment