Thursday, September 16, 2010

Majlis Peguam perlu audit aktiviti, kekayaan ahli


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Majlis Peguam didesak supaya mengaudit aktiviti dan kekayaan semua peguam di negara ini terutama membabitkan mereka yang pernah dikaitkan dengan kes-kes jenayah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.
"Kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lelaki lain melibatkan seorang suspek utama yang merupakan peguam bergelar Datuk sangat hina. Amat malang bagi negara kita jika seorang peguam boleh melibatkan diri dalam kes jenayah apatah lagi secara berterusan," katanya.
Tambah Mohd. Ali, melalui cara mengaudit dan menyemak kegiatan semua ahlinya, Majlis Peguam secara tidak langsung akan membantu pihak polis menggagalkan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan jenayah daripada mengulanginya.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan agar pengurusan Majlis Peguam diletakkan di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara atau diselia oleh suruhanjaya tertentu ekoran sikap selektif majlis tersebut dalam memperjuangkan sesuatu isu.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap selektif Majlis Peguam terserlah apabila tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung pembunuhan Sosilawati melibatkan suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk.
"Saya hairan dan tertanya-tanya kenapa tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam sedangkan suspek ialah seorang peguam.
''Jika ini sikap Majlis Peguam, sudah tiba masanya, majlis itu diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara atau sebuah suruhanjaya," katanya.
Menurut Ibrahim, sikap berdiam diri Majlis Peguam itu menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana selama ini, jika terdapat kes pembunuhan berprofil tinggi seumpama itu, badan tersebutlah yang menjadi hero dengan membuat pelbagai desakan dan tuntutan kepada kerajaan.
Katanya, Majlis Peguam sepatutnya bersuara mengenai pembunuhan kejam yang menimpa Sosilawati dan tiga rakannya, apatah lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dilakukan di ambang Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment