TUMPAT 5 Sept. - "Sebelum kejadian saya sering teringat dan merinduinya walaupun selalu berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook.
"Setiap hari saya melihat wajahnya dalam skrin komputer riba dan merinduinya," ujar Mohd. Yusof Awang Besar, 37, bapa Amirul Ayman, 10, yang mati dibunuh bersama-sama ibunya, Norliza Ishak, 35, di flat Jalan Sutera Lama, Port Dickson, kelmarin.
Lebih menyedihkan apabila dia tidak sempat mengirimkan hadiah selepas anak tunggalnya itu khatam al-Quran sebanyak dua kali sepanjang Ramadan ini.
Katanya, dia telah berjanji dengan anak tunggalnya itu akan mengirimkan hadiah istimewa selepas Amirul Ayman memaklumkan kejayaannya khatam al-Quran melalui SMS, Selasa lalu.
"Amirul belum tahu lagi hadiah itu kerana ingin membuat kejutan, tetapi nampaknya semuanya tidak kesampaian," katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, di sini hari ini.
Tambahnya Mohd. Yusof, dia gembira dengan kejayaan anaknya itu, namun ia bukanlah sesuatu luar biasa kerana Amirul Ayman bukan sahaja pintar tetapi merupakan anak yang soleh dan patuh.
"Saya juga sering berpesan agar dia rajin baca al-Quran dan tidak meninggalkan sembahyang sepanjang Ramadan ini dan dia melakukan dengan baik... Saya bangga dengannya," ujarnya sayu.
Katanya lagi, Amirul Ayman dilahirkan di Kaherah, Mesir tetapi ketika berusia lima tahun, dia kembali ke Malaysia dan tinggal bersama-sama datuk dan nenek sebelah ibunya di sini, sebelum berpindah ke Port Dickson kerana mengikut ibunya yang mengajar di sana.
Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Amirul Ayman adalah ketika mereka menyambut Hari Raya Aidiladha di Kaherah dua tahun lalu.
No comments:
Post a Comment