Monday, September 6, 2010

Tangan hancur digilis mesin tebu



NUR AIN yang hancur tangan kirinya akibat dikisar mesin tebu menerima rawatan di HPRZ II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bakal berhari raya dengan sebelah tangan selepas tangan kirinya hancur akibat digilis mesin pengisar tebu terpaksa dipotong.
Tangan mangsa, Nur Ain Nabila Zakaria hancur sehingga bahagian pergelangan dalam kejadian pada pukul 11 pagi di Kampung Padang Mukam, Pasir Mas dekat sini semalam.
Bapa kanak-kanak itu, Zakaria Mohd. Noor, 54, berkata, sebelum kejadian anak bangsu daripada enam beradik itu bermain bersama seorang sepupunya di rumahnya.
Pada masa itu, menurutnya, seorang peniaga air tebu sedang membaiki mesin pengisar tebu yang ditinggalkan sementara di pekarangan rumahnya.
Ceritanya lagi, peniaga tersebut kemudian menghidupkan enjin mesin tersebut bagi mengesan kerosakan dan meninggalkannya untuk mengambil peralatan bagi mesin tersebut.
“Saya yang sedang berehat dalam rumah tiba-tiba terdengar jeritan Nur Ain dan terkejut apabila melihat sebahagian tangan kiri anak saya berlumuran darah akibat dikisar mesin tebu tersebut.
“Melihat keadaan cemas itu, saya dan seorang anak lelaki yang kebetulan berada di rumah bergegas membantu Nur Ain yang sedang kesakitan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

No comments:

Post a Comment