KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa mendakwa tindakan Kerajaan Pusat membahagi wang ihsan sejak mula tidak mengikut mana-mana peruntukan undang-undang.
Menurutnya, tindakan menyalurkan wang ihsan itu adalah satu langkah politik bagi menghalang pembayaran royalti yang jelas menjadi hak negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian penyerahan hak petroleum Negeri Kelantan kepada Petronas 1975.
Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak berhak mengikut undang-undang membahagikan bahagian pembayaran royalti untuk negeri Kelantan mengikut saluran dan kehendak mereka seperti yang dilakukan sekarang.
“Melalui amalan pembahagian wang ihsan, tidak ada siapa boleh mengesahkan berapakah jumlah sebenar wang yang patut dibayar. Adakah jumlahnya sebegitu kecil sedangkan pengeluaran petroleum yang membabitkan perairan Kelantan adalah amat besar. Jumlahnya bukan jutaan seperti yang diagihkan atas nama wang ihsan tetapi ribuan juta setiap tahun,” katanya kepada :Sinar Harian: semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Husin, semalam, yang mahukan rakyat menilai kejujuran Kerajaan Negeri kerana sanggup menghalang tindakan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan Kerajaan Pusat melalui tindakan undang-undang.
Isnin lalu, Husam dalam satu kenyataan dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memfailkan satu lagi tuntutan untuk menghalang pembayaran wang ihsan sehingga kes saman terhadap Petronas selesai.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petroleum negeri mempersoalkan kewajaran Kerajaan Pusat mengagihkan wang ihsan, sedangkan usaha itu terhasil inisiatif kerajaan negeri yang menuntut royalti.
“Kenapa Datuk Dr Awang Adek tidak mengambil inisiatif membahagikannya sebelum kami (kerajaan negeri) menuntut? Adakah ini bukan politik? Adakah ini telus? Jika kerajaan negeri tidak menuntut, maka wang minyak itu lesap entah ke mana sampai hari ini? Nasib baik kita menuntut, tumpah juga kuah walaupun ‘dicebuk’ dari khazanah kita sendiri.
“Akhirnya, jika Kerajaan Negeri Kelantan terpaksa memfailkan permohonan tahanan sementara terhadap aktiviti itu, ia hanya bermakna Kerajaan Negeri mengambil langkah menyempurnakan proses Mahkamah,” katanya.
No comments:
Post a Comment