Monday, September 6, 2010

DAP minta rakyat bertenang hadapi sentimen perkauman




SHAH ALAM – DAP meminta seluruh rakyat Malaysia bertenang dan berfikiran waras menghadapi sentimen perkauman dan agama yang semakin menular di internet terutamanya di laman-laman sosial serta blog. 

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, isu ini terus menjadi kebimbangan kerana ia boleh menular lebih teruk jika tiada tindakan pantas dilakukan oleh pihak berwajib kerana bahan-bahan di internet ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja. 

Menurutnya, untuk membendung isu ini, Kit Siang mencadangkan satu wacana awam diadakan untuk menamatkan isu perkauman dan agama di internet dengan cara yang bertamadun, waras dan logik. 

“Kualiti wacana awam ini seharusnya tidak dipenuhi dengan penipuan, perkauman dan penghinaan kerana ia hanya akan merosakkan asas kepada bangsa Malaysia yang telah kita bina selama ini,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mendapat sokongan rakyat jika mereka bertindak tegas dan pantas untuk menghentikan sebarang cubaan memulakan api kemarahan kaum di negara ini. 

“Apa yang perlu SKMM lakukan ialah, mereka harus menjaga kredibiliti mereka dengan tidak mensia-siakan keyakinan rakyat dengan menjadi alat sesetengah pihak untuk mengambil peluang isu ini,” katanya. 

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru SKMM bertindak pantas dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengirim bahan-bahan berbau perkauman dan kebencian agama di internet.

No comments:

Post a Comment