Monday, September 6, 2010

Kerajaan tak ada duit nak bantu golongan susah


TPM gesa sektor korporat tubuh yayasan bantu golongan susah


Muhyiddin Yassin bertanya khabar dengan salah seorang penerima sumbangan pada majlis berbuka puasa Yayasan Albukhary di Masjid Albukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur semalam sambil diperhati oleh Syed Mokhtar Albukhary (kiri). - BERNAMA



KUALA LUMPUR 5 Sept. - Timbalan Perdana Menteri menggesa syarikat-syarikat menubuhkan yayasan atau tabung bagi membantu golongan memerlukan dan tidak bernasib baik.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia perlu dilakukan secara konsisten dan bukannya hanya pada musim-musim tertentu sahaja bagi membantu golongan tersebut keluar daripada kepompong kemiskinan.
Beliau mengakui kerajaan banyak membantu golongan terbabit melalui pelbagai inisiatif, institusi dan agensi tetapi ia tidak mencukupi dan memadai.
"Hasrat kerajaan ialah memastikan golongan kurang bernasib baik mampu berdikari dalam jangka masa panjang.
"Jurang kemiskinan masih wujud, walaupun telah dibantu oleh kerajaan melalui pelbagai inisiatif, institusi dan agensi tetapi ia tidak memadai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis berbuka puasa Yayasan Albukhary bersama lebih 300 warga kota yang terdiri daripada anak-anak yatim, orang kurang upaya, miskin dan ibu tunggal.
Majlis yang diadakan di Masjid Albukhary di sini hari ini turut dihadiri oleh isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Muhyiddin memuji Syed Mokhtar melalui yayasannya yang berkongsi kejayaan dan kekayaan dengan semua, bukan hanya dalam lingkungan kecil sesama ahli korporat sahaja.
Katanya, Yayasan Albukhary adalah salah satu contoh syarikat korporat terbaik yang mengembalikan semula apa yang diperoleh kepada rakyat.
"Yayasan ini antara yang paling banyak menyumbang antaranya membina Muzium Kesenian Islam, masjid, rumah anak yatim, hospital dan universiti.
"Ini adalah bukti keikhlasan mereka berkongsi kejayaan dengan semua dan ia wajar menjadi tauladan semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment