Monday, September 6, 2010

SKMM, polis siasat 13 kes salah guna Internet



KUALA LUMPUR 5 Sept. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang menyediakan 13 kertas siasatan bagi kes penyalahgunaan Internet terutama yang boleh menggugat keharmonian dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kesemua siasatan itu dilakukan hasil kerjasama erat agensi kementerian iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"SKMM sedang membuat susulan untuk menyediakan kertas siasatan tidak kurang daripada 13 kes berkaitan penyalahgunaan Internet bersama pihak polis.
"Kes-kes itu yang mengandungi unsur-unsur perkauman, hasutan atau menghina raja, kebudayaan dan agama yang dikategorikan sebagai menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Ia akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang mahu SKMM bertindak tegas dalam menangani penyalahgunaan laman sosial di Internet yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tertentu.
Ia ekoran tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna laman sosial seperti Facebook untuk menghina orang Melayu dan agama Islam yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Dalam kes terbaru, Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.
Rabu lalu pula, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membuat laporan polis berhubung kewujudan satu akaun Facebook menggunakan nama 'Melayu Babi.'
Sebelum itu, seorang pemuda dari Muar, Wee Meng Chee atau Namawee turut mencetuskan kontroversi kerana menghasilkan video klip berbaur perkauman.
Rais berkata, arahan Perdana Menteri itu adalah tepat pada masanya kerana pihak kementerian sememangnya sentiasa bersikap tegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan Internet bagi tujuan menganggu keharmonian rakyat Malaysia.
"Saya sendiri sebelum ini sudah meminta SKMM supaya memberikan laporan terhadap semua tindakan yang telah dan sedang diambil bagi kes-kes yang berkaitan salah guna Internet," katanya.
Tambah beliau, SKMM sentiasa bekerjasama erat dengan pihak polis memandangkan badan itu tidak boleh bertindak bersendirian terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang berhubung komunikasi dan multimedia.
Katanya, siasatan berhubung perkara itu juga memerlukan masa yang agak panjang.
"Siasatan perlu dilakukan dengan berhati-hati dan cermat kerana ia melibatkan penggunaan komputer dan kemahiran tinggi masyarakat Malaysia menggunakan komputer pada masa kini.
"Ini menuntut SKMM dan polis untuk melakukan siasatan yang begitu terperinci terutama menjalankan ujian-ujian di makmal bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan tersebut," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, ia tidak menghalang SKMM dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa juga yang cuba merosakkan keharmonian negara ini melalui teknologi maklumat yang canggih pada hari ini.

No comments:

Post a Comment