Monday, September 6, 2010

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu mahu Abdul Taib kekal



KUCHING 5 Sept. - Semua 71 ketua cawangan yang diwakili kaum bapa serta sayap pemuda dan wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini mengeluarkan usul dan ikrar taat setia menyokong Abdul Taib Mahmud kekal sebagai Presiden parti serta Ketua Menteri Sarawak .
Timbalan Presiden I PBB, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, mereka yang terdiri daripada Anggota Majlis Tertinggi PBB sebulat suara mahu Abdul Taib mengekalkan jawatan itu bagi memastikan kestabilan politik serta pembangunan Sarawak secara berterusan yang akan meningkatkan lagi taraf ekonomi negeri dan rakyat.
''Kami menyokong penuh jalinan berterusan serta semangat kerjasama antara Ketua Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan kejayaan Wawasan 2020 dan gagasan 1Malaysia.
''Kami juga menyokong penuh usaha gigih Abdul Taib menegakkan disiplin dalam Barisan Nasional (BN) peringkat negeri bagi memastikan kerjasama padu antara parti-parti komponen BN demi menjamin kecemerlangan serta integriti yang tinggi kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Abdul Taib di ibu pejabat PBB di sini.
Abdul Taib bagaimanapun meninggalkan mesyuarat 10 minit lebih awal dan enggan memberi komen kepada wartawan, sebaliknya menyerahkan kepada timbalannya untuk memberi kenyataan berhubung perkara itu.
Pemimpin berusia 74 tahun itu merupakan Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak menyandang jawatan tersebut pada 26 Mac 1981.
Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak memberitahu, antara usul itu juga menyebut, semua 71 ketua cawangan PBB sanggup berkorban dan bersatu bagi menentang secara habis-habisan segala usaha untuk melemahkan atau mencabar kestabilan BN serta kerajaan negeri sama ada datang dari luar atau dalam.
''Kami juga sanggup berkorban dan bersatu menyokong kepimpinan cemerlang Ketua Menteri supaya kekal mengetuai negeri serta BN dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment