Tiada sebab pembinaan jambatan ganti Tambak Johor tak boleh diteruskan: Dr M
2010/11/26
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tiada sebab mengapa projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura tidak boleh diteruskan.Beliau berkata, ini kerana semasa perancangan dan perundingan dengan kerajaan Singapura, projek itu tidak menghadapi masalah perundangan dan tentangan dari negara jiran itu.
"Saya dulu terlibat secara langsung dengan perancangan jambatan ini, semasa saya kaji cadangan ini, saya telah kaji segala peruntukan undang-undang terutamanya yang membabitkan Singapura, saya telah cuba meminta Singapura bersetuju supaya kita bangunkan jambatan ini bersama tetapi setelah dua tahun berlalu tiada respon menunjukkan mereka tak berminat."Dengan itu saya rancang sama-sama dengan arkitek tertentu untuk mengadakan jambatan ini di sebelah Malaysia sahaja tak melibatkan Singapura dan mereka tidak bantah, kita sebenarnya dah luluskan projek ini dalam Kabinet dan kerja-kerja telah dibuat bersama-sama kontrak CIQ," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan sebanyak RM7,000 oleh Pertubuhan Belia Islam Kepong (PBIK) untuk tabung kutipan Gaza di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52, Isnin lepas supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor diteruskan.
Baginda bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengulas bahawa kerajaan perlu membuat kajian mengenainya kerana terdapat banyak implikasi daripada segi perundangan, kos dan juga halangan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura.
Dr Mahathir berkata, Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor terdahulu, sendiri sanggup memberikan kawasan tanahnya secara percuma supaya jambatan ini yang lebih popular sebagai jambatan bengkok dapat dimajukan.
"Ini bermakna Almarhum Sultan memang sokong penuh pembinaan jambatan yang dikatakan bengkok ini, tidak ada bantahan dari mana-mana pihak.
"Saya ada jumpa dengan Sultan Johor yang sekarang ini (Sultan Ibrahim) dan baginda menyatakan bahawa baginda memang nak betul supaya jambatan ini diteruskan dan baginda akan menulis kepada kerajaan untuk buat cadangan bagaimana nak buat jambatan ini jika kerajaan pusat tidak ada duit," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu yakin sekiranya jambatan itu dibangunkan, ia akan mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN).
"Saya percaya satu daripada sebab kita tak dapat kemenangan cemerlang di Johor, buat pertama kali kita kalah enam kerusi kerana rakyat Johor amat marah apabila dituduh mereka yang tidak mahu jambatan itu.
"Mereka tidak pernah ditanya sama ada hendak jambatan atau tidak, rakyat Johor marah dan sokongan mereka terhadap BN pada 2008 merosot, ada kawasan undi merosot dan ada yang kalah terus," katanya.
Mengulas mengenai pemberian sumbangan hari ini, Dr Mahathir yang juga penaung Perdana Global Peace Organisation (PGPO) mengucapkan terima kasih kepada PIBK kerana turut prihatin untuk membantu usaha-usaha menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza.
"Saya ucap tahniah kepada pertubuhan kerana usaha yang dibuat dengan sendirinya dan saya harap sikap seperti ini perlu dicontohi oleh belia-belia lain supaya dapat menunjukkan betapa kita kisah akan kedudukan keselamatan dan orang Islam yang ditindas dan dibunuh," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment