Air mula naik sejak petang semalam ekoran air Sungai Golok yang mula melimpah selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu di selatan Thailand dan negeri ini.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersedia sepenuhnya dari segi logistik dan bantuan menyelamat seandainya situasi menjadi semakin buruk menyebabkan ramai keluarga perlu dipindahkan.
Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, kesemua 729 pusat pemindahan banjir serta agensi menyelamat yang terlibat telah bersedia sepenuhnya.
Jelas beliau, satu mesyuarat tergempar telah diadakan petang ini di sini untuk memastikan jaminan koordinasi antara semua agensi yang terlibat dalam usaha menyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjaga kebajikan mangsa.
"Kita memang sudah bersedia dan sebab itu juga saya datang hari ini untuk memastikan semua persiapan termasuk pusat pemindahan banjir, tandas, makanan dan keperluan lain boleh digunakan bila-bila masa.
"Kita juga bermesyuarat hari ini untuk memastikan semua agensi penyelamat yang terlibat dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan mengelakkan berlaku beberapa kesilapan seperti kejadian banjir sebelum ini," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik dan Setiausaha MKN negeri, Mohamad Roslee Mamat.
Mohamed berkata, MKN turut meminta bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyediakan beberapa helikopter di Pangkalan TUDM Gong Badak bagi memudahkan ia digunakan pada bila-bila masa diperlukan.
Tambahnya, setiap agensi penyelamat juga telah mempamerkan aset masing-masing termasuk jaket keselamatan, bot serta lori dan jumlahnya juga mencukupi untuk digunakan.
Dalam pada itu, maklumat daripada laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga pukul enam petang ini turut menunjukkan paras air Sungai Golok telah melepasi tahap berjaga-jaga, manakala sungai lain di seluruh negeri berada pada paras berjaga-jaga.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada kedalaman 8.22 meter menghampiri paras bahaya atau sembilan meter, manakala di Jenob, bacaan berada pada paras 20.03 meter di atas paras normal.
No comments:
Post a Comment