Friday, November 26, 2010

Cadang bina lokap sendiri


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang membina lokap, gudang barang kes, dan dewan serbaguna di semua pejabat SPRM negeri dalam memantapkan pengendalian kes berkaitan rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar berkata, projek itu dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan permohonan peruntukan sebanyak RM192 juta.
"Sebelum ini, kita terpaksa berkongsi lokap dengan pihak polis.
"Setakat ini, hanya pejabat SPRM Putrajaya dan Negeri Sembilan yang mempunyai lokap dan gudang barang kes sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Kompleks Pejabat dan Perumahan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan, Ir. Adanan Sukri Musa di sini hari ini.
Zakaria memberitahu, kompleks pejabat baru SPRM Wilayah Persekutuan yang dilengkapi kemudahan prasarana terkini akan beroperasi Isnin ini.
Zakaria berkata, kompleks lima tingkat bernilai RM32 juta di Lot 1246, Jalan Cochrane ini lengkap dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih.
Katanya, terdapat 110 bilik pegawai, satu bilik mesyuarat utama dan empat bilik mesyuarat dan tiga bilik gerakan dengan kapasiti 30 orang setiap satu bilik.
"Selain itu, kompleks pejabat ini turut dilengkapi bilik media, bilik runding cara, bilik soal siasat, bilik aduan, perpustakaan, galeri, bilik air untuk orang kurang upaya (OKU) serta 258 tapak tempat letak kenderaan bagi memberikan keselesaan kepada pegawai SPRM dan orang ramai.
"Kompleks pejabat ini merupakan fasa pertama bagi projek pembangunan Kompleks Pejabat dan sambungan fasa kedua kompleks Perumahan SPRM Wilayah Persekutuan sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment