Friday, November 26, 2010

Rasul Ali semakin pulih


KULIM 25 Nov. - Warga emas, Rasul Ali yang ditemui tidak bermaya akibat berjalan berkaki ayam sejauh 40 kilometer selama empat hari gara-gara sesat dan tidak menemui jalan pulang ke rumahnya baru-baru ini, kini dilaporkan semakin pulih.
Rasul, 57, yang mengalami kesan luka di tangan serta melecet di kedua belah tapak kakinya ekoran kejadian itu, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Petani di sini dan dijadualkan menjalani imbasan otak beberapa hari lagi.
Anak Rasul, Firdaus, 28, berkata, selera makan bapanya juga semakin baik berbanding selepas kejadian selain memberi reaksi positif setiap kali berinteraksi dengan ahli keluarga.
''Kami berasa lega kerana selepas kejadian itu, ayah kelihatan agak sugul dan hanya banyak mendiamkan diri tetapi keadaan kini semakin baik malah selera makan ayah juga bertambah baik berbanding sebelum ini.
''Setakat ini, kami dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kesihatan ayah semakin pulih tetapi masih perlu berehat kerana masih keletihan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rasul yang mengalami masalah ingatan akibat terlibat dalam dua kemalangan jalan raya sebelum ini, dilaporkan hilang selepas keluar ke masjid berhampiran rumahnya di Taman Selasih di sini pada petang raya, 17 November lalu dengan menaiki motosikal tetapi tidak pulang ke rumah.
Bagaimanapun, selepas berita kehilangannya disiarkan Utusan Malaysia 20 November lalu, Rasul ditemui Ahad lalu oleh orang ramai dalam keadaan menyayat hati dengan kesan melecet teruk di kedua-dua belah tapak kaki selain berlumpur seluruh badan dipercayai terjatuh daripada motosikal.

No comments:

Post a Comment