Friday, November 26, 2010

‘Kerana cinta hidup merana’





JAKARTA 25 Nov. – Masih ramai wanita Malaysia yang terlantar di Indonesia kerana ‘mencari cinta’ walaupun Kedutaan Besar Malaysia hanya merekodkan 22 kes sejak 10 tahun lepas.
Jurucakap kedutaan berkata, jumlah sebenar dipercayai lebih besar kerana statistik itu hanya berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa Indonesia dan keluarga mangsa kepada pihak kedutaan.
Daripada jumlah tersebut, 14 kes membabitkan mereka yang terlantar di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan selebihnya di Sulawesi, Jawa Timur dan Jambi.
Jurucakap Bahagian Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, setakat ini sebanyak 10 orang telah dihantar pulang, manakala 12 orang lagi masih dikesan.
Di Lombok sahaja, katanya, terdapat lapan kes membabitkan wanita di bawah umur dan enam daripada mereka telah dihantar pulang.
Walaupun telah banyak laporan media mengenai kes sedemikian, tetapi wanita Malaysia tidak pernah serik dan terbaru wanita berusia 35 tahun dari Kuala Terengganu terlantar selama setahun, tiga bulan di Lombok selepas ditinggalkan kekasihnya yang pulang bekerja di Malaysia.
Harlizan Ibrahim kini terpaksa ditempatkan di sebuah pusat penjagaan orang terlantar di Mataram kerana keluarga lelaki berkenaan terlalu miskin untuk menyara hidup wanita itu dan anak lelakinya, 6, yang dilahirkan di Lombok.
Pembiayaan kos untuk melahirkan anaknya di hospital juga dikatakan dibayar sendiri oleh wanita itu yang terpaksa menggadai semua barangan kemas miliknya.
Jurucakap itu menjelaskan, pihak kedutaan bersedia membantu wanita berkenaan untuk pulang ke Malaysia, termasuk menyelesaikan masalah Harlizan yang tinggal lebih masa di Indonesia.
Bagaimanapun, kata beliau, anak lelaki Harlizan harus terlebih dahulu memiliki surat beranak dan pasport Indonesia sebelum diuruskan visa yang sesuai bagi membolehkan dia masuk serta tinggal di Malaysia.
Ini adalah kerana mengikut undang-undang kewarganegaraan di Indonesia, anak yang lahir dari perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dengan ibu warganegara asing secara automatik menjadi warganegara Indonesia.
Pihak Kedutaan Malaysia telah berhubung dengan Harlizan sejak 6 November lepas dan kali terakhir pada 21 November bagi urusan membantunya.
Laporan media tempatan menyatakan Harlizan sebenarnya tidak mahu pulang ke Malaysia kerana malu kepada keluarganya dan difahamkan juga pada masa yang sama pusat penjagaan terbabit tidak lagi sanggup menanggungnya serta anak.
Oleh sebab situasi itu Harlizan mengalami tekanan jiwa dan sebanyak dua kali terpaksa dirujuk ke hospital sakit mental.
Harlizan yang kini ditempatkan di Pusat Penjagaan Bude Rini di Selagalas, Kota Mataram mengaku hidupnya di kawasan pedalaman Lombok sangat susah sehingga terpaksa memasak menggunakan kayu api.
Pada bulan pertama berada di Lombok dia masih lagi berkomunikasi dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Asitah melalui telefon selular, namun setelah empat bulan, lelaki yang diharapkan memberi perlindungan dan kasih sayang, meninggalkannya sebatang kara di negara asing. – Utusan

No comments:

Post a Comment