Friday, November 26, 2010

Desak pecat imam muda



Abdullah Isa (depan tiga dari kiri) bersama imam tua, Muhammad Deraman (empat dari kiri) pada demonstrasi secara aman di perkarangan bangunan MAIK, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 25 Nov. - Kira-kira 500 penduduk Kampung Geting, Tumpat mengadakan demonstrasi secara aman bagi mendesak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memecat imam muda yang bertugas di Masjid As-Somadi di sini hari ini.
Perhimpunan selama tiga jam itu bermula kira-kira pukul 9 pagi di pekarangan Kompleks Balai Islam Lundang di sini sebagai tanda tidak puas hati penduduk terhadap imam muda, Rosli Abdul Latif, 31, yang didakwa gagal menjalankan tugas dengan baik kerana mengutamakan tugas-tugas lain.
Mereka turut membawa poster 'Allahuakbar Tuanku kekalkan imam tua kami', 'Dato' Wan Konok (Yang Dipertua MAIK) jangan jadi dalang' dan 'Dato' Wan Konok jangan bermain politik'.
Jurucakap penganjur perhimpunan, Abdullah Isa, 64, mendakwa, imam muda yang dilantik sejak dua tahun lalu tidak mengutamakan tanggungjawab di masjid itu sebaliknya sering mengadakan kuliah agama di tempat lain.
"Imam muda tersebut pernah meletakkan jawatannya itu tetapi ditarik semula dan bertugas seperti biasa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Rosli telah dipulaukan oleh ahli jawatankuasa Masjid As-Somadi gara-gara tindakan bapa mertuanya, Abdullah Sa'amah yang juga pengasas Pondok Geting kerap mengkritik Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Malah setiap kali imam muda itu mengimamkan solat, ada antara makmum melakukan solat berjemaah dengan imam yang lain secara berasingan di belakang.
Rosli pernah meletakkan jawatannya pada Jun lalu tetapi menarik balik selepas memikirkan beberapa faktor.
Sebelum ini, bapa mertuanya kerap mengkritik Nik Abdul Aziz kerana berpendapat Mursyidul Am Pas itu telah mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam seperti tidak menggalakkan sambutan Maulidur Rasul dan mengatakan Allah pun mencarut.
Sementara itu, Rosli ketika ditemui di pejabat MAIK berkata, beliau masih imam muda yang sah untuk bertugas di Masjid As-Somadi dan belum ada surat mengarahkannya meletakkan jawatan.
Tambahnya, beliau akan terus menjalankan tugasnya selagi MAIK tidak mengeluarkan arahan.
''Saya terkilan apabila ahli jawatankuasa masjid itu tidak memberi peluang kepada saya menjalankan tugas selaku imam muda," katanya.

No comments:

Post a Comment