07/12/2010 4:22pm
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menafikan laporan beberapa media tempatan hari ini yang menyebut air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Rahin Mohd Said berkata, laporan tersebut yang memetik beliau itu mengelirukan dan tidak tepat.
"Apa yang ditulis itu tidak betul dan saya tidak pernah kata begitu," katanya di sini hari ini.
Rahin dilaporkan berkata demikian dalam sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pengkalan Gawi semalam.
Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot atau rumah tumpangan terapung yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.
Rahin berkata, laporan begitu boleh menjejas industri pelancongan negeri.
Beliau berkata bakteria e-coli biasanya berada dalam kawasan yang sempit dan kualiti airnya sedikit serta tercemar dengan najis.
Sedangkan Tasik Kenyir luas dan airnya bermutu tinggi dan menjadi sumber air mineral dan dibekalkan kepada orang ramai, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment